Rabu, 15 April 2015

Orang Cina ni curi duit, habiskan dengan alkohol, sindir Jho Low

THE MALAYSIAN INSIDER


 Ahli perniagaan Jho Low berkata sekiranya dia menggunakan wang Putrajaya untuk berparti, dia seorang yang 'paling dungu'. – Gambar ihsan YouTube, 14 April, 2015.Ahli perniagaan Jho Low berkata sekiranya dia menggunakan wang Putrajaya untuk berparti, dia seorang yang 'paling dungu'. – Gambar ihsan YouTube.























Apabila gaya hidupnya yang gemar berparti termasuk gambar dengan selebriti Hollywood Paris Hilton tersebar, ahli perniagaan Low Taek Jho kecewa dipersalahkan sebagai punca skandal kewangan syarikat pelaburan kewangan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Low, yang dikenali sebagai Jho Low, bagaimanapun berkata, beliau semestinya adalah "orang paling dungu" jika memperoleh hasil wang daripada kerajaan Malaysia dan membelanjakannya untuk parti mewah.

"Disebabkan gambar saya dan Paris Hilton berparti, kamu jadikan isu Bumiputera: 'Oh, orang Cina itu curi semua duit dan bazirkannya dengan alkohol'.


"Saya fikir saya tentunya orang paling dungu, jika saya dapat wang kerajaan dan belanja sesuka hati, itu perkara paling dungu," katanya dalam temubual dengan majalah kewangan Euromoney edisi
April. Katanya, dirinya menjadi mangsa politik Malaysia apabila dijadikan sasaran utama, sedangkan pihak lain yang bertanggungjawab terlepas daripada tindakan.

"Ada ramai yang terlepas dengan projek berbilion itu. Tetapi setiap kali berlakunya serangan politik, wow, sekali lagi Jho Low terlibat."

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dirinya terpaksa bersuara kerana berasa isu 1MDB semakin mengarut.

"Mereka menuding jari ke arah saya seolah-olah cuba mengatakan: 'Ini semua salah anak muda Cina ini. Disebabkan dia, 1MDB gagal kerana dia yang menasihati PM dan sekarang semuanya gagal'."

Low pada Mac lalu menafikan dirinya di sebalik 1MDB dan terlibat dalam pengubahan wang haram dan penipuan dalam syarikat.

Dalam satu temu bual dengan South China Morning Post, Low berkata: "Saya mangsa politik tuduh menuduh Malaysia. Saya dijadikan sasaran."

Katanya, hala tuju 1MDB diputuskan dan diluluskan sepenuhnya mengikut rangka pentadbiran korporat, yang melibatkan pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham.

"Jadi kenapa mempolitikkannya dan cuba menyalahkan saya sedangkan saya tidak ada kuasa membuat keputusan?"

Low ketika ditemu bual Euromoney di Hong Kong juga menyalahkan Umno yang menjadi dalang cuba memutarbelitkan isu.

"Orang Umno ini pakar putar belit, mereka tahu semua ini mengarut.

“Mereka asyik bercakap perkara sama tetapi saya kata: Perkara ini mudah, 1MDB ada satu badan lembaga, siapa pemegang sahamnya?."

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

* The Edge Financial Daily akan menyiarkan wawancara penuh Euromoney dalam edisi akan datang. 

Tiada ulasan: