Selasa, 21 April 2015

Kadar KWSP Memadai Buat Masa Ini

RAKYATNEWS


alt
 


KUALA LUMPUR- Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) adalah memadai buat masa ini kerana ia telah diselaraskan dengan gaji minimum pekerja, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata langkah menaikkan caruman akan menjejaskan gaji bersih pekerja yang digunakan untuk menampung kehidupan harian.

"Peningkatan peratusan kadar caruman bagi syer pekerja dan majikan sememangnya dapat memberi impak berganda terhadap simpanan persaraan ahli.

"Bagaimanapun, KWSP juga perlu peka dan mengambil kira faktor-faktor lain seperti keadaan ekonomi semasa rakyat Malaysia yang terpaksa mengharungi peningkatan kos sara hidup," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Yoo Wei How mengenai kesediaan KWSP meningkatkan kadar caruman pekerja dan majikan supaya dapat menyelesaikan masalah ketidakcukupan jumlah wang caruman untuk persediaan selepas bersara.

Chua berkata wang simpanan KWSP adalah untuk tujuan persaraan ahli dan ia bergantung kepada beberapa faktor seperti kadar upah yang diterima, kadar caruman majikan dan pekerja, pemberian dividen tahunan serta sebarang pengeluaran yang dibuat sebelum mencapai umur 55 tahun.

Katanya pengeluaran itu termasuk untuk tujuan perumahan, haji, pendidikan, kesihatan dan hilang upaya serta pengeluaran semasa umur 50 tahun.

Beliau berkata kecukupan simpanan persaraan ahli juga bergantung kepada kesedaran mereka untuk menabung lebih awal bagi menyelaraskan simpanan dengan gaya hidup yang diingini selepas bersara.

"Ahli juga perlu mengambil kira keadaan kesihatan mereka semasa persaraan dengan menyediakan simpanan secukupnya memandangkan kos kesihatan yang semakin meningkat," katanya.


Tiada ulasan: