Sejak akhir-akhir ini, kakitangan Bernama TV
berhadapan dengan pelbagai khabar angin mengaitkan kemelut kewangan
syarikat itu, namun belum ada pengumuman rasmi dibuat.
PETALING JAYA: Kakitangan Bernama TV bimbang dan runsing dengan perkhabaran berita tentang saluran itu bakal direhatkan selama tiga bulan.
Walaupun belum menerima sebarang notis atau surat rasmi, berita yang disebarkan melalui sebuah portal ternyata mengejutkan kakitangan, kebanyakannya pekerja tetap dan sebilangan kecil kontrak.
“Kami tidak pasti jika berita itu benar atau tidak kerana belum menerima apa-apa kenyataan bertulis daripada syarikat pengendali Bernama TV Synergy Sdn Bhd.
“Tetapi akhir-akhir ini kami berhadapan dengan masalah pembayaran gaji yang lewat iaitu sekitar tarikh 6 haribulan berbanding dahulu, sekitar 26 haribulan,” demikian kata seorang kakitangan Bernama TV yang enggan namanya dikenali.
Dia juga akui, sejak kemelut kewangan yang dihadapi Bernama TV, pelbagai khabar angin yang didengari, namun belum ada satu pun yang dijamin kesahihannya.
“Jika mereka mahu ‘merehatkan’ kakitangan sekalipun, saya rasa kami harus diberitahu awal-awal. Ini melibatkan periuk nasi lebih 100 orang kakitangan,” katanya yang khuatir jika syarikat itu memberi notis waktu akhir.
Malah, seorang lagi kakitangan Bernama TV pula menyatakan jikalau apa sekalipun ‘rehat’ yang dimaksudkan, saluran tersebut akan tetap beroperasi.
Baru-baru ini, sebuah portal menyiarkan berita ‘Bernama TV akan direhatkan tiga bulan?’ menyatakan beberapa orang kakitangan yang ditemuinya risau tentang masa depan mereka di syarikat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan