Dun Perak jadi kecoh kerana baju hitam
 
 
 
IPOH - Sesi perbahasan titah Tuanku Sultan pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Negeri ke-13, hari ini berlangsung dalam suasana tegang apabila wakil rakyat kedua-dua pihak saling bertikam lidah mengenai rasa hormat terhadap institusi diraja.

Ia berikutan teguran dibuat Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) mengenai tindakan wakil rakyat pembangkang yang tidak mengenakan pakaian istiadat, sebaliknya hadir dengan persalinan serba hitam pada pembukaan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.

Mohd Khusairi dalam perbahasannya menyifatkan tindakan itu tidak menghormati institusi diraja apatah lagi dua orang kanan PR iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas-Changkat Jering) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) mendapat darjah kebesaran daripada Ayahanda Sultan Nazrin, Almarhum Sultan Azlan Shah.

Kenyataan itu membangkitkan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang mempertahankan tindakan mereka tiada kena mengena dengan rasa hormat terhadap Sultan.

Antara yang bangun membidas kenyataan Mohd Khusairi adalah Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) yang mempersoalkan mengapa perkara sama mengenai kesalahan pakaian hitam dan kaitan dengan rasa hormat itu dipersoalkan.

Tindakan itu menyebabkan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) bangun menuding jari memohon Choo Kiong menarik balik kenyataan dibuat.

Keadaan itu berlarutan memaksa Speaker Dewan, Datuk SK Devamany beberapa kali meminta semua wakil rakyat bertenang.

Tindakan Choo Kiong dan Shahrul Zaman keluar Dewan dalam keadaan tegang menyebabkan ada pihak menyangka kemungkinan berlaku bergaduhan di luar Dewan, bagaimanapun keadaan tenang tanpa sebarang kejadian tidak diingini.