Khamis, 16 April 2015

DAP gesa kerajaan Pusat turunkan bayaran tol Lin kedua

wong-shu-qi

Roketkini.com


KULAI: DAP menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengurangkan bayaran tol di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di Tambak Johor.

Pengarah Dasar DAP Johor Wong Shu Qi berkata, langkah terbaik buat ini adalah mengurangkan bayaran tol Kelas 2 dan Kelas 3 di Linkedua Gelang Patah..

“Hampir 70 peratus kenderaan berat kini menggunakan Tambak (Johor) kerana bayaran tol di Link Kedua adalah terlalu tinggi, iaitu dua kali ganda (berbanding sebelum ini).

“Bayaran tol bagi Kelas 2 Link Kedua adalah bernilai RM34.20 berbanding di Tambak iaitu RM24.90, manakala Kelas 3 pula RM68.60 berbanding RM33.30 di Tambak,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Menurut ADUN Senai itu, bagi kenderaan Kelas 3, perbezaan bayaran tol antara Tambak dan Linkedua di Kastam Malaysia dan Tuas Checkpoint adalah lebih daripada 100 peratus.

Jelasnya, tidak sukar memahami mengapa syarikat-syarikat logistik cenderung menggunakan Tambak berbanding Linkedua.

Tambah Shu Qi, antara punca lain kesesakan lalu lintas teruk adalah kenderaan dengan berat berlebihan yang berhenti di Tambak apabila mereka menerima maklumat penguatkuasaan sedang dijalankan di Singapura.

“Saya menyeru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan tegas menjalankan penguatkuasaan di Tambak untuk menyelesaikan masalah ini yang membebankan semua pengguna,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk tidak membenarkan kenderaan berat melalui Tambak Johor bagi mengurangkan kesesakan di jalan utama negeri tersebut.

“Cadangan Tuanku ini adalah satu inisiatif yang sangat baik, dan kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera kepada seruan untuk mengurangkan bayaran tol di Link Kedua bagi menggalakkan lebih banyak syarikat logistik menggunakan pintu masuk di Gelang Patah,” kata Shu Qi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: