Barang sukan kena GST, kata Khairy Khairy bersama graduan terbaik pada Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara kali ke-11 di Pusat Konvensyen Putrajaya, semalam. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
 
 
 
PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan tidak merancang meminta pengecualian GST bagi aktiviti dan barangan sukan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rakyat harus faham negara tidak boleh kecualikan semua perkara daripada GST.

"Kita sudah ada senarai termasuk barang-barang yang dikecualikan GST.

"Jika menambah lagi perkhidmatan dan barangan yang dikecualikan, maka ia akan menjejaskan tujuan mengadakan GST iaitu untuk mengumpul pendapatan kepada kerajaan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kali ke-11, semalam.

Menurutnya, jika kementerian ingin meminta barang sukan untuk dikecualikan GST, tidak mustahil ada lagi permintaan lain dikemukakan kelak.

Khairy turut meminta agar rakyat menerima hakikat bahawa GST telah dilaksanakan dan ada barang serta perkhidmatan dikenakan GST.

"Tetapi saya berharap GST tidak akan memberi halangan kepada rakyat melibatkan diri dalam sukan.

"Saya lihat walaupun dengan pelaksanaan GST, keinginan rakyat dalam acara sukan masih lagi tinggi, " katanya.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, 5,071 graduan IKBN menerima penganugerahan diploma dan sijil pelbagai bidang dan peringkat pengajian di IKBN.

Katanya, pencapaian pasaran graduan di IKBN meningkat 83.2 peratus pada tahun lalu iaitu mendapat pekerjaan dalam tempoh enam selepas menamatkan pengajian.

Khairy berkata, kementeriannya berharap jumlah itu dapat ditingkatkan kepada 90 peratus menjelang 2016, sekali gus membuktikan graduan IKBN berkualiti dan berkemahiran tinggi.