Jumaat, 3 April 2015

Azmin: Khalid 'tohmah' isu tender terbuka

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini membidas kembali kritikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa penamatan sistem tender terbuka yang dilakukan pentadbirannya bakal mengundang "bencana".

Azmin berkata, “tohmahan” yang dilakukan ADUN Pelabuhan Klang itu tidak berasas memandangkan kerajaan negeri masih mengamalkan dasar tender terbuka.

Bagaimanapun, Azmin (bawah) menjelaskan pelaksanaan yang dilakukan kerajaan negeri kini menggunakan dasar tender terendah yang masih menggunakan elemen value for money (berbaloi).

"Saya kira (ADUN) Pelabuhan Klang boleh buat tohmahan itu dan yakinkan Umno dan Barisan Nasional. Saya kira jawapan saya jelas dan terang. Tohmahan itu tidak berasas sama sekali.

"Untuk tujuan rekod, dasar yang digantikan ialah dengan menggunakan dasar penilaian perolehan berdasarkan cut off. Saya tegaskan, dasar baru ini masih tetap tender terbuka. Yang membezakannya (dengan dasar sebelum ini) adalah kaedah pengiraan sistem cut off.

"Elemen value for money masih lagi digunapakai. Dakwaan itu terpesong dan beri kesan negatif terhadap kerajaan negeri. Dasar baru yang dibuat kerajaan negeri ini berdasarkan masalah yang dihadapi terutamanya mengenai projek yang "sakit"," kata Azmin.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berhubung dasar tender terendah yang digunapakai oleh kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Semalam, Khalid mengkritik pentadbiran Azmin yang didakwanya menamatkan dasar sistem tender terbuka yang bertujuan untuk menangani masalah rasuah dan salah guna kuasa. 


Tiada ulasan: