Isnin, 20 April 2015

200 sukarelawan ceriakan rumah kebajikan Nur Kasih

Oleh : AFEEQA AFEERA


KLANG : Kira-kira 200 sukarelawan dari pelbagai pertubuhan menyertai aktiviti menceriakan Rumah Kebajikan Anak Yatim Nur Kasih di Kampung Batu Tiga sempena Program Sukarelawan Selangor.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata program itu bertujuan memupuk perpaduan lebih erat serta menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat terutamanya belia.
sukarelawanKatanya program yang mendapat kerjasama dari Pertubuhan Sinar Ehsan itu menyasarkan rumah kebajikan anak yatim, pusat jagaan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk diberi bantuan.

“Program ini dekat di hati rakyat dan ia terbukti apabila berbondong-bondong orang Selangor turun sewaktu banjir di Kelantan.

“Atas dasar itu, kita berpendapat ini adalah masa yang baik untuk digarap sukarelawan yang ingin membuat kerja kebajikan,” katanya ketika melawat Rumah Kebajikan Anak Yatim Nur Kasih, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Sukarelawan itu terdiri daripada pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Universiti Selangor (Unisel), Pertubuhan Sinar Ehsan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Dalam pada itu, Daroyah berkata badan khas untuk menaungi sukarelawan terlibat dengan program ini dibentuk sebagai usaha mengiktiraf penglibatan mereka.

Katanya program ini juga disebar luas kepada orang ramai untuk turut sama menyumbang serta menjalankan kerja sukarelawan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Selain daripada pemberian sumbangan, kita juga buat program keceriaan untuk anak-anak, aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Kita cuba untuk memudahkan urusan rumah kebajikan ini supaya mereka tahu mereka tidak keseorangan.

“Bila kita uar-uarkan, orang ramai akan turun menyumbang dan kita juga bantu keperluan mereka untuk berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.

Sementara itu, pengasas Rumah Kebajikan Nur Kasih, Zubir Omar, berkata pihaknya mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri untuk menceriakan anak-anak yatim selain menghulurkan bantuan.

Katanya, rumah kebajikan yang beroperasi sejak 2008 itu dilakukan atas ehsan sendiri termasuk mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

“Setakat ini ada 50 anak-anak yang bernaung di bawah rumah kebajikan ini dan kita sangat berterima kasih kepada Kerajaan Selangor atas usaha yang dilakukan,” katanya.-EZY


Tiada ulasan: