Ahad, 8 Februari 2015

Diskaun, rebat tol sempena Tahun Baru Cina

MALAYSIAKINI


 


Pengguna-pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun dan rebat tol antara 5 hingga 37.5 peratus di 18 lebuh raya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan di sini berkata kesemua lebuh raya berkenaan bersetuju menawarkan insentif itu sebagai program tanggungjawab sosial korporat dan penghargaan kepada pengguna.

Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menawarkan rebat sebanyak 30 peratus bagi perjalanan melebihi 100 kilometer kepada pengguna yang membayar tol secara elektronik (ETC) pada 16 dan 23 Feb.

Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pula menawarkan diskaun kadar rata sebanyak 60 sen untuk kenderaan semua kelas tunai dan ETC pada 19 Feb manakala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT) menawarkan 20 sen untuk semua kelas tunai dan ETC pada hari sama.

Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE) dan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) pula menawarkan diskaun 20 peratus untuk ETC Kelas 1 dari 6 pagi 19 Feb hingga 6 pagi 20 Feb.

Lebuhraya SMART pula menawarkan 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi kelas 1 dan 4 sahaja pada 19 Feb manakala Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menawarkan 10 peratus untuk tunai dan ETC Kelas 1 sahaja.

Menurut LLM, Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB) menawarkan diskaun 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi semua kelas dari 11 malam 18 Feb hingga 8 pagi 19 Feb manakala Lebuhraya Cheras Kajang (Grand Saga) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) menawarkan diskaun 10  peratus untuk tunai dan ETC pada 19 Feb bagi semua kelas.

Lebuhraya Senai Desaru (SDE) dan Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) menawarkan diskaun 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi kelas 1 sahaja.

Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pula menawarkan diskaun 5 peratus untuk ETC kelas 1 sahaja dari 6 pagi 19 Februari hingga 5.59 pagi 20 Februari, menurutnya.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataannya berkata tawaran diskaun itu diberikan kepada pengguna kenderaan kelas 1 bagi perjalanan jauh melebihi 100 kilometer dan membayar tol secara elektronik (menerusi kad PLUSMiles, Touch 'n Go atau SmartTAG) pada hari bukan puncak.

Pengarah Urusannya Datuk Noorizah Abd Hamid berkata rebat tersebut diberikan bagi menggalakkan pengguna bergerak pada hari berkenaan untuk mengurangkan kesesakan pada hari puncak.

"Ia juga merupakan inisiatif PLUS menghargai kerjasama orang ramai yang menggunakan sistem pembayaran tol secara elektronik," katanya.

Beliau berkata PLUS turut memberikan rebat tol 20 peratus kepada semua pengguna kelas 1 di ketiga-tiga lebuh raya berkenaan yang mematuhi panduan perjalanan, menggunakan sistem elektronik serta perjalanan melebihi 100 km pada hari puncak iaitu 17, 18, 21 dan 22 Feb ini.

"PLUS menjangkakan Lebuhraya Utara-Selatan mengalami peningkatan trafik sebanyak 15 peratus kepada 1.5 juta kenderaan sehari pada hari puncak itu," katanya.

Justeru itu, PLUS meminta pengguna lebuh raya yang menuju ke Perlis, Kedah dan Johor selatan supaya memulakan perjalanan pada 6 hingga 8 pagi pada 13 Feb manakala mereka yang menuju ke Pulau Pinang dan Johor utara diminta memulakan perjalanan pada 8 hingga 12 tengah hari pada hari sama.

Noorizah juga meminta mereka yang ke Perak utara dan tengah serta Melaka supaya memulakan perjalanan pada 12 tengah hari hingga 6 petang manakala mereka yang ke Perak selatan dan Negeri Sembilan dinasihatkan bergerak selepas 6 petang pada 13 Feb.

Pada 22 Feb, mereka yang kembali ke Kuala Lumpur dari utara dan selatan dinasihatkan bergerak mengikut tempoh masa yang dicadangkan PLUS.

Menurutnya  berdasarkan pengalaman sebelum ini, pematuhan tempoh masa itu dapat memastikan perjalanan yang selesa pada musim-musim perayaan.- Bernama

Tiada ulasan: