Isnin, 9 Februari 2015

Chong Wei : Lebih Ramai akan Tinggalkan BAM

Lee Chong Wei

  
RAKYATNEWS


KUALA LUMPUR  - Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendakwa ada beberapa pemain lagi yang mungkin akan membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemain berusia 32 tahun itu berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan dua pemain beregu utama, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah yang menghantar surat untuk keluar daripada skuad negara Rabu lalu.

“Telah ramai pemain yang keluar, mungkin pihak pengurusan (BAM) ada masalah tetapi saya rasa pemain-pemain ini sahaja yang tahu.

“Sebelum ini pemain perseorangan wanita, Yang Li Lian yang keluar, kemudian Thien How dan Khim Wah, saya rasa mungkin ada ramai pemain yang beratur lagi untuk menghantar surat berhenti.

“Saya ada dengar juga tetapi saya tidak tahu kebenarannya. Bagi saya pula, saya akan menunggu dan cuba bersabar sehingga proses pendengaran panel doping selesai sebelum membuat apa-apa keputusan,” kata Chong Wei ketika ditemui pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Walaupun Chong Wei mengakui, BAM telah membuat keputusan yang positif dengan menaikkan elaun para pemain, namun dia percaya pemain yang mengambil keputusan meninggal badan induk itu turut terpengaruh dengan masalah lain.

“Saya harap keputusan untuk menaikkan elaun pemain akan menjadi berita yang bagus untuk semua pemain di sini tetapi pemain-pemain juga ada sebab lain.

“Kalau baru berusia 20 tahun mereka mendapat elaun RM1,500 mungkin ada yang rasa tidak mampu untuk meneruskan hidup di Kuala Lumpur, jadi apabila mereka mendapat tawaran lebih besar daripada kelab-kelab di luar mungkin mereka akan tinggalkan BAM,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesabarannya menunggu bahan bukti bagi proses pendengaran panel doping Persatuan Badminton Dunia (BWF) yang dijangka siap selewat-lewatnya pada Mac ini, Chong Wei berkata, dia mungkin tidak boleh bersabar jika terpaksa menunggu terlalu lama.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini kerana BAM dan Institut Sukan Negara (ISN) yang membuat keputusan, saya tidak mendapat maklumat mengapa ia masih ditunda.

“Saya pun tidak boleh buat apa-apa hanya boleh menunggu. Saya hanya boleh bersabar tetapi tengoklah sampai bila, kalau saya tidak boleh bersabar lagi saya mungkin akan buat keputusan untuk berhenti,” kata Chong Wei.

Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas diuji positif menggunakan bahan terlarang, dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di Denmark Ogos tahun lalu.

Tiada ulasan: