Roketkini.com
SEREMBAN: Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong mendesak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri agar segera memohon maaf terhadap tuduhan tidak berasasnya bahawa DAP ‘bapak rasis di Malaysia’.
Beliau berkata, tuduhan itu sama sekali tidak masuk akal sedangkan Ismail sendiri yang menyarankan orang Melayu supaya memboikot peniaga Cina mengenai isu harga.
“DAP mempertahankan hak semua pengguna di Malaysia melawan ‘musuh bersama’ iaitu harga barang yang melambung tinggi dan saya tidak memahami bagaimana Ismail boleh memutarbelitkan pandangan ini dan menuduh kami rasis.
“Ismail perlu meminta maaf terhadap kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada 7 Februari lalu, seperti dilaporkan The Malaysian Insider, Ismail telah menyalahkan DAP berhubung kenaikan harga barang.
Dalam sebuah program di Pasar Tani Taman Melawati itu, Ismail mendakwa DAP dan parti pembangkang lain sengaja memanipulasi rakyat serta mengambil kesempatan untuk menentang kerajaan berhubung harga barang.
Beliau turut melemparkan tuduhan bahawa DAP adalah ‘bapak rasis di Malaysia’ dan bukannya UMNO-BN.
Mengecam kenyataan itu, Teo yang juga Ketua Pemuda DAP (DAPSY) menegaskan, ia sudah menjadi kewajipan DAP sebagai parti pembangkan untuk bertindak memainkan peranan ‘check and balance’ terhadap dasar-dasar mahupun program-program kerajaan.
“Apabila kami mengkritik berhubung atas kos sara hidup yang meningkat, kami tentunya menjangkakan kerajaan untuk menggunakan kuasanya mengurangkan harga komoditi agar ia dapat meringankan beban rakyat.
“Sebagai contoh, kami menjangkakan kerajaan untuk menurunkan tarif elektrik supaya ia dapat mengurangkan kos pengeluaran komoditi asas dan utiliti, berikutan TNB telah meraih keuntungan besar akibat kejatuhan harga minyak dunia.
“Tapi, kami tidak pernah menjangkakan Ismail telah menjadikan isu ini sebagai isu perkauman. Boikot terhadap peniaga-peniaga Cina adalah tidak adil sama sekali dan jelas berbaur hasutan perkauman,” tegasnya.
Teo juga menggesa Ismail agar turut memohon maaf kepada komuniti masyarakat Cina berhubung hasutan perkaumannya baru-baru ini. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan