Isnin, 9 Februari 2015

Lapan Pegawai Imigresen Sabah Jual Pas Lawatan Ditahan

Oleh: NICHOLAS CHENG
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Lapan pegawai imigresen Sabah ditahan kerana menjual pas lawatan kepada ratusan warga Pakistan, dengan memperoleh 'jutaan ringgit' sejak beberapa tahun.

Mereka yang ditahan adalah dari pejabat imigresen di Sandakan, Kota Kinabalu dan Lahad Datu.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya menahan dua pegawai kanan imigresen, yang merupakan timbalan penolong pengarah dan lima lagi pegawai imigresen Sabah yang dipercayai terlibat dalam sindiket, pada 2 Februari lalu.

"Kita menahan ramai lagi pegawai pada 6 Februari lalu. Kesemua mereka direman sehingga minggu depan.

"Berdasarkan siasatan awal, pegawai-pegawai ini menjual ratusan pas lawatan kepada warga asing di sini.

"Mereka telah pun beroperasi selama beberapa tahun," katanya sambil menambah para pegawai berkenaan memperoleh jutaan ringgit hasil penjualan tersebut.

Selain itu, jurucakap berkenaan berkata, sepuluh warga Pakistan turut ditahan, termasuk seorang individu yang menjadi orang tengah kepada pegawai imigresen dan warga asing.

Suspek menjual pas tersebut pada harga antara RM5,000 dan RM7,500 setiap satu bergantung kepada tempoh lawatan untuk warga Pakistan.

Suruhanjaya itu kini memperluaskan gerakannya dan menjalankan siasatan ke atas pegawai-pegawai lain di negeri itu.

"Dijangka lebih ramai akan ditahan tidak lama lagi," kata jurucakap itu.

Berikutan penahanan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, tiada kompromi terhadap integriti di kalangan pegawai kerajaan.

Beliau turut berkata, kerajaan negeri berharap supaya tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara tersebut.

Tiada ulasan: