Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Parti Pakatan Rakyat dinasihat berhati-hati dengan taktik pecah-belah dan menimbulkan kesangsian menggunakan pilihanraya kecil (PRK) DUN Chempaka di Kelantan, dan Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, UMNO dijangka mendalangi plot baru untuk melemahkan Pakatan Rakyat dengan menimbulkan perpecahan dan kesangsian, antaranya melalui helah tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Chempaka di Kelantan, manakala berusaha sedaya-upaya memenangi Parlimen Permatang Pauh.
Rancangan itu boleh ‘dibaca’ berdasarkan kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong yang diberi ‘lampu hijau’ untuk menyatakan secara terbuka berhubung cadangan agar BN tidak bertanding di DUN Chempaka.
“Saya tidak ragu-ragu. Itu strategi UMNO-BN merancang plot baru untuk cuba membawa perpecahan kepada Pakatan Rakyat.
“Ini memberikan semacam alasan untuk mengaburi gerakan politik berdasarkan kenyataan sedemikian,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataan berasingan berkata, UMNO akan mengubah strateginya dengan menumpukan kekuatan ke PRK Permatang Pauh, dengan tujuan ‘menyelesakan’ PAS.
Antaranya melalui kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa BN tidak perlu meletakkan calon di DUN Chempaka, selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.
Mustafa turut mencadangkan BN tidak bertanding DUN Chempaka, sebaliknya menumpukan kepada pemulihan pasca banjir di negeri itu.
Tegas Guan Eng, hujah sedemikian begitu lemah dan tidak meyakinkan.
“Berbeza dengan keengganan UMNO Kelantan, Pengerusi UMNO Pulau Pinang Zainal Abidin Osman pula menyatakan akan bertanding di Permatang Pauh kerana yakin dapat melakukannya dengan baik.
“Cadangan bertanding PRK di satu dari dua kerusi adalah strategi tersusun untuk memaksimakan kekuatan dan sumber UMNO.
“Untuk membantu kemenangan di kerusi Permatang Pauh, UMNO tidak akan bertanding di Chempaka bagi ‘menggembirakan’ PAS, selain menjauhkan diri dari serangan Ibrahim Ali keatas Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ” kata Guan Eng.
Sementara itu, pengarah pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli seperti dilaporkan Malaysian Insider berkata, BN perlu konsisten dalam keputusannya tidak bertanding di DUN Chempaka, dengan turut tidak bertanding di Parlimen Permatang Pauh.
Tambahnya, BN menyifatkan pilihan raya kecil (PRU) Kajang tahun lepas sebagai pembaziran dan membebankan rakyat, dan hujah tersebut harus masih diterima pakai.
“Kalau pendirian mereka konsisten, ia bukan sahaja isu banjir di Kelantan, tetapi juga jumlah perbelanjaan besar dan bagaimana ia membebankan rakyat.
“(Mereka berkata) kita baru saja selesai pilihan raya umum, oleh itu hujah sama yang diberikan ketika PRK Kajang lalu patut diterima sekarang.
“Sekiranya mereka merasakan tidak perlu bertanding di Chempaka, saya percaya keputusan sama perlu dibuat mengenai Permatang Pauh,” kata Dr Hatta pada satu sidang media hari ini.
Dalam pada itu kata Dr Hatta, PAS sedia menghadapi PRK Chempaka dan percaya pengundi tidak melupakan jasa Nik Aziz kepada mereka.
Ahli Parlimen Kuala Krai itu menambah, PAS akan membantu PKR berkempen di Permatang Pauh, selepas kerusi itu diisytihar kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kelak.
“Kami akan ada di sana. Kami ada ADUN di Permatang Pasir. Jadi merupakan kewajiban memastikan kerusi DUN itu memberi sokongan sepenuhnya kepada PKR.
“Di Penanti dan Seberang Jaya juga kami ada sokongan kuat. Kami akan memastikan kerusi ini kekal di tangan PR sehingga pilihan raya umum akan datang,” kata Dr Hatta. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan