Isnin, 16 Februari 2015

Masyarakat India terpinggir akibat politik perkauman UMNO-BN

kit siang

 Roketkini.com


PETALING JAYA : Isu gangsterisme dalam masyarakat India berpunca akibat terpinggirnya kaum itu selama beberapa dekad akibat kegagalan pembinaan negara dan dasar kerajaan kata Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian dalam pelancaran buku Dr Carl Vadivella Belle berjudul ‘Tragic orphans:Indians in Malaysia’ di Petaling Jaya, semalam.

Menurutnya, banyak masalah membelenggu masyarakat India, namun paling utama adalah masalah ‘gangsterisme’.

“Masalah gangsterisme semakin parah beberapa tahun ini, baik dari segi bilangan, penjenayah dan banduan di penjara.

“Kemasukan gangster ke sekolah untuk menakut-nakutkan dan mengganggu pelajar serta kekejaman dilakukan terhadap mangsa serupa dengan apa yang dilakukan kumpulan militan Islamic State.

“Mereka sanggup memotong anggota badan dan memancung kepala mangsa mereka,”ujarnya.

Dalam pada itu Kit Siang menyelar sikap Perdana Menteri dan barisan kabinet yang gagal mengurus keharmonian negara

Ini termasuk isu keceluparan Datuk Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan perkauman menuduh masyarakat Cina menindas orang Melayu.

“Ini bukan saja hal kesombongan Ismail Sabri, tetapi kita mempunyai Kabinet dan Perdana Menteri yang boleh dipaksa untuk menerima alasan keterlaluan.

“Masalah mikro gangsterisme di kalangan India ini adalah ekoran masalah makro iaitu keterpinggiran masyarakat India selama beberapa dekad.

“(Ini) menunjukkan kegagalan dasar-dasar pembinaan bangsa oleh Barisan Nasional selama beberapa dekad,” tegas Kit Siang.

Justeru itu, Kit Siang menyeru penubuhan sebuah ‘Rekonsiliasi Nasional’ tanpa mengira kaum dan agama bersama parti-parti politik dan gerakan masyarakat sivil.

“Ini (rekonsiliasi nasional) untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah ‘negara gagal’ dan prinsip kita adalah untuk memastikan tidak ada warga menjadi ‘anak yatim yang menyedihkan’’ di Malaysia ini,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: