KEMAMAN: Selepas dua guru didakwa berhubung kebocoran kertas soalan
peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini di
Negeri Sembilan, hari ini seorang jurutera pula dihadapkan ke Mahkamah
Sesyen di sini atas pertuduhan sama.
P. Prem Kumar, 34, yang bekerja di sebuah syarikat pemprosesan bahan
kimia di sini didakwa atas lima pertuduhan membabitkan kebocoran kertas
soalan bagi mata pelajaran Bahasa Tamil, Sains dan Matematik pada
September lalu.
Tertuduh yang berasal dari Ipoh, Perak hadir di mahkamah kira-kira
pukul 11 pagi dengan ditemani bapanya, mengaku tidak bersalah atas
kelima-lima pertuduhan tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Prem Kumar didakwa menyimpan beberapa
helaian muka surat kertas soalan Bahasa Tamil, Matematik dan Sains
melalui telefon pintar jenis iPhone 5 pada pukul 1 petang, antara 9
September dan 15 September lalu.
Kejadian didakwa berlaku di Kilang Malay Sino Chemical PT 4406 di Kawasan Perindustrian Telok Kalong di sini.
Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia
Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan
tidak lebih tujuh tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Jazamuddin
Ahmad Nawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Hakim Rofiah Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan
seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 8 Disember ini.
Pada 5 November lalu, dua guru sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT)
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas enam pertuduhan
memiliki kertas soalan peperiksaan UPSR secara tidak sah di dalam
telefon pintar mereka, September lalu.
Subbarau @ Kamalanathan, 34, yang mengajar di SJKT Ladang Batang Benar
menghadapi lima pertuduhan manakala P. Murugan, 36, yang bertugas di
SJKT Ladang Lenggeng berdepan dengan satu pertuduhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan