KOTA KINABALU: Selepas ditahan polis di Kota Kinabalu kerana berucap
dalam himpunan tanpa kebenaran, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti
Malaya (PMUM) Fahmi Zainol sekali lagi ditahan, kali ini ketika memasuki
Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pengerusi-Pro Mahasiswa Nasional Abdul Muqit Muhammad berkata Fahmi
bersama 7 lagi mahasiswa ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kota Kinabalu tanpa dimaklumkan atas kesalahan apa.
"Fahmi bersama 7 lagi rakan kami ditahan tanpa sebab. Pihak polis hanya
memberitahu ia atas keselamatan kerana risau berlaku kekecohan apabila
'samseng Umno' juga turut berada di kawasan UMS malam tadi," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata alasan yang diberikan pihak berkuasa
berkenaan dengan kehadiran samseng agak mencurigakan kerana Fahmi dan
rakannya yang lain ditahan sehingga jam 11.30 malam.
"Amat pelik kerana mereka (polis) melepaskan semua 8 mahasiswa termasuk
Fahmi pada jam 11.30 tadi malah Fahmi juga memberitahu tidak dilayan
dengan baik," katanya.
Bagaimanapun, Muqit percaya penahanan Fahmi ada kena mengena dengan
cubaan menghalang mahasiswa itu mendedahkan dakwaan terdapat penyaluran
dana RM10,000 dari Umno kepada jentera pro-Aspirasi ketika pilihan raya
kampus lalu.
Muqit berkata, perkara itu sepatutnya didedahkan dalam program di UMS
malam tadi namun ketika acara sedang berlangsung, mereka didatangi pihak
berkuasa.
"Maklumat berkenaan bantuan Umno tersebut berjaya dirakam ketika
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Juhar Harun, mengumumkannya
dalam satu majlis tertutup bersama jentera Aspirasi dan juga Umno.
"Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pemuda Umno Sabah Yamani Hafiz
Musa Ahmad," katanya sambil menambah terdapat juga video dirakam semasa
majlis tersebut yang kini sudah tersebar luas.
Muqit, Fahmi dan 8 lagi rakan mereka berada di Sabah selama dua hari
bagi program "Jelajah Reformasi" di mana pemimpin pelajar itu sepatutnya
berucap di UMS pada jam 8 malam.
Muqit berkata, meskipun pada mulanya kumpulan mereka tidak dibenarkan
berucap di dalam dewan UMS, namun akhirnya pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP)
memberi kebenaran meneruskan aktiviti pidato.
"Mereka benarkan kita masuk tapi hanya di luar saja, dan ketika kami
berucap dengan kehadiran lebih 100 pelajar UMS, pihak berkuasa datang
membawa Fahmi.
"Kelihatan juga kira-kira 10 orang yang disyaki 'samseng Umno' turut berada di kawasan itu," katanya.
Jumaat lepas, Fahmi dilaporkan turut menjadi sebahagian daripada
penganjur himpunan mahasiswa dihadapan pintu pagar utama Universiti
Islam Malaysia (UIA) yang sedang menjalani pilihan raya kampus.
Himpunan itu menyebabkan pentadbiran UIA menutup bekalan elektrik UIA
dan menutup pagar intsitut itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini
berlaku.
Fahmi bersama tujuh lagi rakannya sedang menghadapi tindakan tatatertib
daripada UM selain turut dikenakan pendakwaan mengikut Akta Hasutan
kerana menganjurkan pidato Ketua Umum PKR: 40 Tahun Dari UM Ke Penjara,
meskipun dilarang pentadbiran UM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan