Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar
KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu akan memantau
perjalanan proses pengambilan industri air Selangor yang kini diteruskan
oleh Menteri Besar yang baru, Mohamed Azmin Ali.
"Saya akan memantau (perjanjian air) supaya kos pengambilan industri
air ini tidak bertambah dan seperti yang telah dijanjikan iaitu tidak
melebihi RM9.5 bilion," katanya yang ditemui media selepas merasmikan
Program Sajian Rakyat bertempat di Pangsapuri Permai, Sungai Besi petang
tadi.
Bekas Menteri Besar itu terdahulu diminta mengulas tindakan Azmin yang
'menyokong' segala usaha semasa pentadbirannya suatu masa dahulu,
seperti isu pengambilan industri air dan pembinaan Lebuh Raya
Kinrara-Damansara (Kidex).
Ini merupakan majlis rasmi pertama yang dianjurkan Khalid sementelah meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada September lalu.
Umum mengetahui bagaimana kontroversi melibatkan Khalid dan kepimpinan
PKR yang tidka berpuas hati dengannya yang mempersetujui beberapa dasar
kerajaan negeri yang didakwa mesra kepada Umno-Barisan Nasional.
PKR menuduh kesemua perjanjian itu akan menguntungkan pihak lawan
apabila Khalid tidak mendapatkan sebarang nasihat dan membuat rundingan
sebelum kata putus dibuat.
"Tidak apalah sebab ia untuk kebaikan rakyat. Kita teruskan usaha itu.
Kita tidak menghalang apa-apa yang sepatutnya dilakukan. Itu menunjukkan
usaha yang kita lakukan itu adalah usaha profesional dan telus serta
untuk kebaikan rakyat.
"Malah tidak ada lagi usaha memfitnah sebab ia perkara yang betul,"
katanya sebagai reaksi terhadap Azmin dan kepimpinan kerajaan yang
baharu itu.
Sementara itu, ketika berucap di hadapan pendudukan pangsapuri
berkenaan, Khalid berikrar akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di
DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak, meskipun menerima
desakan untuk berundur.
"Saya sudah berjanji dengan rakyat, bahawa apabila mereka mengundi saya
pada PRU-13 maka saya bertanggungjawab meneruskan tugas bersama rakyat.
Dan saya merasakan kita perlu tunjuk contoh kepada pemimpin akan datang
bahawa setiap janji mesti ditunaikan," katanya.
Walaupun kita menjadi seorang wakil rakyat bebas, Khalid mengakui
menerima tawaran untuk menjadi penasihat kepada beberapa organisasi di
peringkat antarabangsa.
"Tugas saya kini semakin ringan, dan ramai meminta saya menjadi
penasihat hingga di peringkat antarabangsa namun saya tolak kerana saya
mahu memantapkan peluang untuk bekerjasama dengan rakyat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan