liwat anwar
 
 
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan sebarang bukti alibi bagi menyokong dakwaan kononnya tidak berada di tempat insiden liwat bersama bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, walaupun 14 senarai saksi alibi telah difailkan oleh mendiang Karpal Singh pada Mei 2009, tidak seorang pun dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

"Pihak pembelaan hanya memberi alasan bimbang sekiranya saksi yang disenaraikan itu diganggu polis.

"Alasan tersebut mengarut dan tidak kukuh," katanya.

Menurutnya, rakaman litar tertutup CCTV telah membuktikan kehadiran Anwar, 67, disusuli oleh Mohd Saiful Bukhari, 29, di kondominium tersebut.

"Sepatutnya Anwar bertanggungjawab untuk menyangkal kehadirannya di tempat dan waktu berkenaan," katanya.

Mengenai kemerosotan mutu bahan bukti seperti seperti yang dipersoalkan oleh pihak pembelaan, Shafee berkata, hasil ujian air mani menunjukkan ianya sempurna walaupun ahli kimia, Dr Seah Lay Hong tidak menyatakan sampel itu berada dalam keadaan tulen.

Menyentuh isu penemuan DNA ketiga yang tidak dapat dikenal pasti turut ditemui di dalam dubur Mohd Saiful Bukhari, Shafee berkata, ia mungkin milik Dr Mohd Osman Abdul Hamid.

"Kemungkinan Dr Mohd Osman cuai dan secara tidak sengaja tertinggal DNA miliknya di dalam rektum Mohd Saiful Bukhari.

"Bagaimana pun DNA 'Male Y' lebih banyak ditemui berbanding DNA ketiga," katanya.

Selain itu dalam hujahannya, Shafee berkata, saksi pembelaan pakar DNA, Dr Brian McDonald adalah merupakan saksi pakar yang tidak berwibawa kerana tiga keterangannya ditolak mahkamah sejak 2007.

"Mahkamah Australia tidak mengiktiraf Dr Brian sebagai pakar DNA dan keterangannya juga banyak ditolak oleh mahkamah negara itu serta Brunei," katanya.

Shafee selesai menggulung hujahan pada jam 3 petang tadi selepas hujahan pendakwaan bermula Jumaat lalu.

Prosiding rayuan terakhir kes Liwat II didengar di hadapan lima panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria.

Empat korum hakim lain adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Prosiding ditangguhkan dan akan bersambung pada Khamis dengan hujahan balas pembelaan.