MALAYSIAKINI
Sebuah parti politik baru - Parti Alternatif Rakyat (PAP) - akan
ditubuhkan sebagai suara ketiga rakyat selaras dengan ideologi
memartabatkan jati diri, hak dan kepentingan rakyat Malaysia.
Presiden Jawatankuasa Penaja PAP, Zulkifli Mohd Noor berkata pihaknya
telah menghantar permohonan mendaftarkan parti itu kepada Pendaftar
Pertubuhan (ROS) semalam dan masih menunggu kelulusan.
"Selepas mendapat kelulusan daripada ROS, kami akan melancarkan parti
baru ini di Kuala Lumpur. Sementara menunggu kelulusan itu, kami akan
patuh arahan pihak ROS yang boleh dan tidak boleh kami lakukan sehingga
disahkan mendapat sijil rasmi kelak," katanya dalam sidang akhbar
mengumumkan penubuhan jawatankuasa penaja PAP di Gorge Town hari ini.
Beliau berkata penubuhan parti baru yang berlandaskan ideologi liberal
demokratik itu juga berhasrat untuk mempersiapkan calon bertanding dalam
Pilihan Raya Umum ke-14, kelak.
Katanya, calon akan dihantar bertanding di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di seluruh negara.
Zulkifli berkata selain 25 anggota jawatankuasa penaja, pihaknya telah
mengenal pasti pemimpin di peringkat negeri, kawasan Parlimen dan
cawangan serta mengembangkan parti itu ke seluruh negara termasuk Sabah
dan Sarawak.
Beliau berkata keahlian PAP terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa
mengira kaum dan tidak akan menyekat anggota daripada mana-mana parti
politik lain untuk menyertai parti berkenaan.
"Kami memberi peluang kepada anak-anak muda, mereka yang tidak menjadi
ahli mana-mana parti, mereka ingin tinggalkan dan sudah tinggalkan parti
mereka. Mereka yang tiada platform untuk mengambil bahagian dalam
pilihan raya umum dan kecil.
"Mereka yang terdiri daripada pesara angkatan tentera, polis dan anggota
keselamatan yang lain bolehlah menyertai atau sekurang-kurangnya
memberi sokongan kepada parti ini," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan