MALAYSIAKINI
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi
Manusia menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang dilihatnya sebagai
peningkatan penindasan untuk bersuara secara aman di Malaysia.
"Akta Hasutan Malaysia terlalu luas dan tidak menggariskan kriteria
yang jelas untuk hasutan," kata jurucakap itu Rupert Collvile (kiri) dalam satu kenyataan.
"Kami menyeru kerajaan supaya segera memulakan kajian semula yang
dijanjikan terhadap akta tersebut dan memansuh atau memindanya selaras
dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsa."
Oleh itu, ia menggesa kerajaan menghentikan tindakan di bawah akta itu dan menggugurkan semua pertuduhan.
Colville menegaskan bahawa antara 19 orang yang berdepan tindakan di
bawah akta tersebut sejak bulan Ogos termasuk anggota masyarakat sivil
dan pemimpin agama.
Beliau berkata antara kes-kes yang membimbangkan termasuk penangkapan wartawan Malaysiakini, Susan Loone (kanan) atas dakwaan menghasut.
Colville juga menimbulkan kebimbangan mengenai siasatan terhadap peguam
Edmund Bon dan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas berkata kerajaan
sedang mengkaji sama ada untuk menggantikan atau meminda akta tersebut.
Beliau sebelum ini berjanji untuk memansuhkan akta era penjajah itu pada 2012.
Berikutan protes yang meningkat, Peguam Negara Tan Abdul Gani Patail
berkata pejabatnya sedang mengkaji tuduhan hasutan terhadap Azmi dan
kes-kes lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan