Ahad, 21 September 2014

Wahid Omar digesa bersemuka rakyat perjelas kenaikan tol Malaysia-Singapura

wahid_omar
Roketkini.com


KULAI: Sudah tiba masanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Wahid Omar menerangkan kepada rakyat apa yang dicapai dalam mesyuarat dua hala bersama Singapura berhubung isu ‘perang’ kenaikan tol.

Adun DAP Senai Wong Shu Qi berkata, kini hanya tinggal sepuluh hari untuk Wahid menyelesaikan krisis ini atau menghadapi kerosakan teruk terutama kepada ekonomi negeri akibat tindakan semberono mereka.

“Beliau yang bertanggungjawab sebagai perancang ekonomi. Beliau perlu menjelaskan kepada orang ramai apa yang telah dicapai atau yang sedang diusahakan untuk mencapai persetujuan dalam mesyuarat dua hala.

“Wahid diarahkan untuk mengetuai delegasi Malaysia berunding dengan rakan-rakan Singapura, jadi saya cadangkan beliau sekurang-kurangnya memberitahu mengenai matlamat utama kerajaan BN.

“Inilah saatnya untuk beliau bertemu rakyat dari semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Shu Qi yang juga Pengarah Dasar DAP Johor menyatakan pihaknya secara sukarela bersedia membantu Wahid menyelesaikan desakan bagi peningkatan khidmat pengangkutan awam dan isu lain yang tercetus akibat kenaikan tol di CIQ.

Jelasnya, terdapat empat objektif yang harus dicapai bagi mengurangkan beban rakyat.

“Wahid mesti mengarahkan MRCB menyediakan RM1 juta sebulan bagi bas ulang-alik percuma antara Kompleks CIQ Johor Bahru dan Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“Kedua, mencadangkan kepada Singapura bahawa kedua-dua negara harus membuka laluan pejalan kaki di Tambak masing-masing untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ketiga, memantau projek landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru untuk memastikan ia disiapkan pada 2015 dan melaksanakan sistem KTM Komuter,” ujarnya.

Wahid turut dicadangkan memulakan semula perbincangan antara kedua-dua negara untuk memudahkan proses imigresen bagi warga yang setiap hari berulang alik bekerja dari Johor Bahru ke Singapura.

Keputusan Kerajaan BN untuk mula mengenakan caj EDL di Kompleks CIQ kini telah menyebabkan Singapura mengambil langkah untuk turut sama meningkatkan bayaran tol berkuatkuasa 1 Oktober ini.

“Perang kenaikan tol ini secara tidak langsung juga akan mengakibatkan kos perjalanan pergi balik bagi kereta meningkat kepada kira-kira RM33 hanya untuk menyeberangi Tambak yang berjarak 1.7 kilometer,” kata Shu Qi. -Roketkini.com

Tiada ulasan: