Jumaat, 19 September 2014

BERSIH: Penjara setahun terlalu berat

MALAYSIAKINI


 


Gabungan NGO BERSIH menyifatkan sabitan ke atas aktivis sosial Adam Adli Abdul Halim atas kesalahan mengikut Akta Hasutan serta hukuman satu tahun penjara adalah terlalu berat.

Bagaimanapun, hukuman tersebut tidak akan menyekat masyarakat umum dari menyatakan pandangan yang bertentangan, menurut kenyataan tersebut.

"Rakyat tidak akan berhenti dari menyatakan pandangan bertentangan terutama ke atas kerajaan yang semakin hilang kewibawaan untuk memerintah,” kenyataan itu dipetik.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendapati Adam Adli bersalah atas tuduhan hasutan atas kenyataannya yang dengan menggesa kerajaan Umno/BN digulingkan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun atas kesalahan tersebut.

Menurut BERSIH, tiada bukti yang memadai untuk menunjukkan bahawa kenyataan Adam menyebabkan berlaku sebarang pergolakan atau keganasan.

Sedangkan, perdana menteri sudahpun mengumumkan bahawa akta tersebut akan dimansuhkan, dan peguam negara juga memutuskan untuk menyemak semula semua kes bawah undang-undang itu.

Oleh yang demikian, hukuman berkenaan dilihat mempersoalkan kewibawaan akta itu sendiri, kata BERSIH.

"Perkara yang sepatutnya dilakukan adalam menangguhkan semua pendakwaan dan prosiding mengikut akta tersebut sehingga satu perbincangan penuh dijalankan di Parlimen, sama ada ia patut diganti atau tidak.”

Tiada ulasan: