Isnin, 22 September 2014

Laporan JK khas royalti Kelantan dicadang dedah

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata laporan berkaitan hasil penyelidikan dan siasatan Jawatankuasa Khas Mengkaji Tuntutan Kelantan terhadap royalti petroleum dicadang didedahkan kepada awam.

Beliau berkata laporan tersebut telah siap dan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagaimanapun masih menjadi dokumen rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

"Saya sedang berhubung dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang berada di luar negara dan kalau beliau bersetuju dan Jemaah Menteri boleh putuskan pada Rabu ini.

"Maka kita (kerajaan) boleh 'diklasifikasikan' (ubah status) dokumen ini tapi kita akan dapatkan nasihat daripada peguam negara dan perdana menteri sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di rumah keluarga Allahyarham Haji Mahmod Kamaruddin di Kampung Telaga Bata di Tumpat, hari ini.

Muhyiddin berkata laporan tersebut dihasilkan oleh jawatankuasa berkenaan yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamed dengan beberapa anggota jawatankuasanya termasuk Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra.

Beliau berkata laporan tersebut menyatakan dengan jelas terutamanya pendirian kerajaan persekutuan adalah betul kerana tidak terdapat apa-apa hasil minyak dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Kelantan. - Bernama

Tiada ulasan: