MH370



KUALA LUMPUR - Petronas bersama-sama dengan konsortium Deftech and Phoenix International akan mengerahkan kapal induk GO Phoenix dan kenderaan sonar ditunda Pro Synthetic Aperture Sonar atau ProSAS untuk menyertai misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 3 Mac.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata GO Phoenix yang kini berada di Jakarta, Indonesia akan berlepas hari ini ke kawasan pencarian dan dijangka tiba di selatan Lautan Hindi pada 25 September.

"GO Phoenix akan menjalankan aktiviti pencarian selama 20 hari sebelum ke Pelabuhan Fremantle untuk mendapatkan bekalan baharu dan dijangka tiba di pelabuhan itu pada 20 Oktober.

"Kapal itu turut dilengkapi sonar pelbagai peringkat cahaya untuk tempat tersorok dan jika sebarang objek dikenal pasti semasa operasi pencarian itu, Phoenix International juga memiliki keupayaan mengambil objek itu dengan kenderaan kawalan jauh (ROV)," katanya dalam sidang akhbar berhubung perkembangan tragedi MH370 dan MH17 di sini hari ini.

Menteri itu berkata ProSAS yang ditempatkan atas kapal Go Phoenix mempunyai keupayaan untuk melakukan pencarian pada kedalaman sehingga 6,000 meter dan meliputi 194 kilometer persegi sehari.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata berdasarkan perbincangan antara Biro Jawatankuasa Pengangkutan Australia (ATSB) dan Jawatankuasa Pengerahan Aset pada 3 September, GO Phoenix akan ditugaskan di sektor 10A hingga 13A manakala kapal Furgo Discovery akan meneruskan tinjauan "bathymetric' di sektor 15A hingga 18A.

Katanya Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Shamsul Azhar dan beliau akan ke Perth hujung bulan ini untuk mendengar taklimat berhubung operasi itu serta berjumpa dengan kru dan kakitangan kapal GO Phoenix.

Menteri itu berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan China minggu depan berhubung pengerahan aset-aset bagi operasi mencari MH370 melibatkan dua kapal China yang terlibat dalam fasa pertama misi pencarian iaitu ZhuKezhen dan Hai Xhun.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penemuan 58 objek keras di selatan Lautan Hindi, Hishammuddin berkata pihaknya tidak akan membuat sebarang pengumuman terhadap apa juga petunjuk selagi tiada sebarang pengesahan dibuat.

"Misi pencarian ini bukan kita (Malaysia) buat secara sendirian, tapi bersama dengan China dan Australia, maka kita buat pengesahan bersama," katanya.

Pada 14 September, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pasukan pencarian MH370 menemui 58 objek 'pejal' yang tidak konsisten dengan permukaan dasar Lautan Hindi.

Liow Berkata Pusat Penyelaras Agensi Bersama Australia (JACC) kini mengumpul semua objek berkenaan untuk dianalisis bagi menentukan sama ada objek pejal itu batu atau bangkai pesawat MH370.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan.

Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari dianggotai pelbagai negara digerakkan untuk mencari pesawat itu di Laut China Selatan dan Laut Andaman sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan

Lautan Hindi'. Usaha mencari pesawat itu masih diteruskan. - Bernama