KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Shahir Zawawi, menafikan dirinya
mempunyai hubungan intim bersama primadona filem Melayu alaf baharu,
Erra Fazira.
Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu turut mendakwa, dirinya tidak
pernah mengeluarkan kenyataan kononnya beliau sedang mengenali hati budi
aktres jelita yang juga penyanyi terkenal berusia 40 tahun itu.
Bagaimanapun Shahir, 25, mengaku beliau pernah keluar bersama bekas
isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin itu, namun atas urusan kerja.
Tegas pemuda terbabit, mereka berbuat demikian kerana bintang jelita
berkenaan ada menawarkannya sebuah watak dalam pementasan teater.
Berasakan ada pihak cuba memanipulasi kenyataannya kepada sebuah
program hiburan TV, baru-baru ini, penyanyi yang dikenali dengan lagu
Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu menegaskan, hubungannya dengan Erra
sekadar kawan dalam industri seni dan tidak pernah timbul isu mereka
sedang mengenali hati budi masing-masing.
Tidak mahu lagi dipalitkan dengan kontroversi percintaan bersama wanita
lebih tua daripadanya, Shahir sebaliknya mahu menumpukan kepada kerjaya
muzik dan kembali aktif dalam industri seni suara, setelah agak lama
menyepikan diri.
Sebelum ini, artis dari Perak ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon, Rozita Che Wan.
"Saya tidak tahu macam mana boleh timbul isu kami intim dan sedang
mengenali antara satu sama lain. Kalau dilihat balik kenyataan saya
kepada hlive!, saya tiada pun menyebut mengenai perkara itu.
"Memang kami pernah berjumpa dan keluar bersama beberapa kali, tetapi
itu semua atas urusan kerja. Beliau ada menawarkan saya watak Hang Nadim
dalam teater Tun Teja, yang akan dipentaskan bulan ini. Disebabkan
kesuntukan masa dan saya juga mahu menumpukan kepada single terbaharu,
Cerita Kita, jadi saya terpaksa menolaknya," kata Shahir ketika ditemui
sewaktu menghadiri sebuah majlis di ibu kota, kelmarin.
Menurutnya, spekulasi yang timbul sejak bulan lalu itu turut
memeranjatkan Erra, yang turut bertanyakan hal berkenaan kepadanya.
Shahir berkata, beliau sendiri sudah menjelaskan perkara sebenar kepada wanita terbabit.
"Tiada apa yang perlu saya risaukan kerana memang tak ada hubungan
istimewa antara kami,” ujar Shahir sambil menafikan dirinya cuba
melarikan diri daripada pihak media berhubung perkara itu sebelum ini,
sebaliknya berada di kampung atas urusan keluarga.
1 ulasan:
Sharir nak tibai je bukan nak Era
Catat Ulasan