Isnin, 16 Jun 2014

Selesaikan isu kerakyatan 9,372 kanak-kanak

Oleh: Amirul Azhan


KUALA LUMPUR : KEADILAN menggesa Menteri Dalam Negeri menyelesaikan permohonan status kerakyatan kanak-kanak yang tidak diberi taraf warga negara, meskipun ibu atau bapa mereka adalah rakyat Malaysia.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, melalui jawapan kementerian tersebut, sebanyak 9,372 kanak-kanak masih tidak mendapat status kerakyatan bagi tempoh 2008 hingga April 2013.

“Melalui jawapan yang diberikan Khamis lalu, kementerian menyatakan 9,372 kanak-kanak yang lahir di Malaysia dan salah seorang ibu bapanya adalah rakyat negara ini namun tidak dapat status hak kerakyatan.

“Ini amat menyedihkan kerana kerajaan sendiri menafikan hak kerakyatan kanak-kanak ini dan masalah akan timbul apabila mereka ingin memulakan persekolahan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dalam jawapan, KDN turut menyatakan peruntukan Perlembagaan iaitu Seksyen 15 (2), Perkara 18 membenarkan anak kepada salah seorang warga negara Malaysia diberikan kerakyatan.

Katanya, soal kerakyatan adalah tertakluk kepada Perlembagaan dan pemohon ada hak memohon kewarganegaraan dengan prosedur yang sewajarnya mengikut Perlembagaan. Namun, katanya terdapat banyak kes di mana permohonan ditolak sehingga dua atau tiga kali.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata terdapat kes di mana anak dilahirkan sebelum ibu bapa mendaftarkan perkahwinan mereka.

“Saya rayu kepada rakyat Malaysia untuk mendaftarkan perkahwinan dahulu kerana ini merupakan satu isu yang serius yang akan mendatangkan banyak permasalahan di masa depan” ujarnya.

Tiada ulasan: