Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen akan menguji keberanian ahli parlimen BN Sarawak menyokong usul kenaikan royalti minyak dari lima peratus kepada 20 peratus kepada negeri itu.
Menurut Chong, perkara tersebut akan diusulkannya di Dewan Rakyat Khamis ini melalui Peraturan Mesyuarat 14(2).
“25 ahli parlimen BN Sarawak yang bersetuju sudah membentuk 123 sokongan ahli parlimen, ini majoriti mudah.
“Kemudian (22 orang) ahli parlimen BN Sabah turut menyokong, bermakna majoriti dua pertiga Dewan.
“Perdana Menteri Najib Razak pasti tak boleh menolak permintaan lebih 50 peratus ahli-ahli Dewan yang mulia,” kata Chong pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Kata Chong, usul yang bakal dikemukakannya melibatkan peningkatan royalti daripada nilai kasar minyak dan gas di negeri bumi Kenyalang itu.
“Kerajaan Persekutuan perlu dalam tahun ini menguatkuasakan semua dokumentasi perundangan bagi kenaikan hak royalti minyak,” katanya.
DUN Sarawak 6 Mei lalu meluluskan usul memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri ini daripada lima peratus kepada 20 peratus.
Usul tersebut mendapat sokongan sebulat suara 68 anggota DUN Sarawak.
“Persoalannya, adakah ahli parlimen BN Sarawak mahu menyokongnya? soal Chong yang juga Pengerusi DAP negeri.
“Jika tidak (setuju), jelas mereka tidak menghormati DUN Sarawak yang secara terbuka bersetuju mengenaninya,” kata Chong yang masih menunggu cabarannya disahut ahli parlimen BN Sarawak – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan