Selvakumar (kanan) bersyukur Daniyaa (kiri) selamat dari penculik Selvakumar (kanan) bersyukur Daniyaa (kiri) selamat dari penculik


SEREMBAN - Dengan menggunakan taktik menabur duit syiling dan wang kertas RM50 di tengah-tengah jalan, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun menjadi mangsa culik sekumpulan lelaki tidak dikenali di Taman Mawar, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang Rabu lalu, mangsa, S.Daniyaa Letchumy, 9, terselamat apabila diserang sawan ketika dibawa dalam kereta penjenayah terbabit sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

Menceritakan kejadian, bapa mangsa, V.Selvakumar, 42, berkata, anaknya diculik ketika dalam berjalan ke kedai berhampiran rumah mereka.

Menurutnya, ketika tiba di laluan belakang taman perumahan berkenaan, anaknya terjumpa wang kertas RM50 atas jalan, lalu mengambil duit tersebut dan meneruskan perjalanan ke kedai.

"Dalam perjalanan balik ke rumah, anak saya sekali lagi terjumpa banyak duit syiling bertaburan di tepi jalan itu iaitu tempat yang sama, lalu berhenti dan mengutip syiling itu.

“Semasa dia sedang leka mengutip duit itulah, tiba-tiba datang dua lelaki bertopeng dari dalam hutan berhampiran, lalu menutup mulut dan mengangkat anak saya masuk dalam kereta Proton Saga hitam yang telah menunggu di tepi selekoh laluan itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira 15 minit kemudian, anaknya ditinggalkan di tepi jalan berdekatan kuil Jalan Seremban - Tampin, kira-kira 10 kilometer dari tempat diculik.
"Mungkin penculik itu panik melihat anak saya diserang sawan,” katanya.

Selvakumar berkata, Daniyaa kemudiannya dihantar pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang pada hari sama oleh seorang individu yang ketika itu berada di kuil terbabit.
Dia juga mengakui anaknya diserang sawan sekiranya berada dalam situasi panik.

“Sejak kecil lagi anak saya sering diserang sawan, lebih-lebih lagi jika dia dalam ketakutan atau pun tertekan. Malah, minggu depan ini, dia akan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia bimbang keselamatan keluarganya kini.

“Saya bukanlah orang senang. Kerja pun hanya mencari besi buruk untuk dijual. Tapi saya percaya penjenayah ini bukan mahu duit tapi mungkin mahu menculik kanak-kanak untuk dijual," katanya.

Berkutan kejadian itu, Selvakumar membuat laporan di Balai Polis Senawang, kelmarin.

Kejadian menimpa keluarga itu turut mendapat perhatian Adun Senawang, P. Gunasekaran dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong yang datang ke rumahnya, semalam.