Minyak masak


SHAH ALAM - Masalah bekalan minyak yang menjadi kebimbangan buat pengguna dan peruncit bukan lagi suatu khabar angin yang sengaja direka oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh Sinar Online, pihak pemborong yang kebiasaannya membekalkan minyak kepada pembeli dan peruncit juga menghadapi masalah bekalan minyak yang semakin kritikal.

Dengan Ramadan yang bakal tiba di penghujung bulan ini, peniaga dan peruncit pasti akan berebut membeli stok minyak masak namun dengan sumber bekalan yang didakwa dikawal oleh pengilang, ianya menyukarkan pengguna dan pembeli

Seorang pembekal minyak masak di sekitar daerah Klang ketika dihubungi Sinar Online berkata, kedainya juga terpaksa mencatu bilangan stok minyak masak yang tidak menentu setiap hari untuk dijual kepada pembeli.

"Stok tak banyak sampai, kadang-kadang 50 botol sehari, kadang-kadang 100 botol, kadang-kadang tak ada langsung, susah mahu berniaga.

"Kalau orang mahu beli, terpulang berapa boleh jual, kadang-kadang sikit, kadang-kadang boleh jual banyak," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Chia.

Menurutnya lagi, pihaknya juga bergantung dengan pembekal lain untuk memastikan bekalan minyak masak yang ada sentiasa cukup dan memenuhi keperluan pengguna seharian.

Seorang lagi pembekal yang turut memiliki sebuah premis di Klang turut mengadukan masalah yang sama ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Menurutnya, permintaan yang tinggi dari pembeli, peruncit, peniaga dan pihak katering tidak dapat dipenuhi berikutan dengan masalah bekalan minyak masak yang masih tidak ditangani oleh pihak kerajaan.

"Saya tak bagi pengguna beli dalam jumlah yang banyak, cukup hanya lima botol hingga 10 botol terhad kepada seorang peniaga atau individu sahaja kerana bekalan minyak masak terhad.

"Kalau situasi ini berterusan sehingga bulan puasa nanti, ianya akan menjadi satu masalah serius lebih-lebih lagi buat peniaga dan suri rumah yang memasak untuk keluarga dan anak-anak," katanya.

Justeru, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran melakukan pemeriksaan, pemantauan terperinci serta mengambil tindakan ke atas  pengilang atau pembekal yang mengehadkan atau menyembunyikan stok bekalan minyak masak bagi menghadapi bulan Ramadan yang bakal menjelang di akhir bulan ini.