MALAYSIAKINI
Selepas seminggu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pengantin
kontroversi Zarina Abdullah Majid akhirnya berdamai dalam isu
perkahwinannya mengikut upacara Hindu.
Malah, selepas pertemuan kedua-dua pihak hari ini, Pengarah MAIS Datuk
Mohamad Adzib dan Zarina mengeluarkan kenyataan bersama yang antara lain
memuji tindakan satu sama lain.
Menurut kenyataan itu, wakil keluarga Zarina mengakui siasatan Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) – badan penguatkuasaan MAIS – dilakukan
penuh hormat dan tidak menyinggung perasaan keluarga dan tetamu majlis
perkahwinan.
“Pihaknya turut kesal dengan istilah serbuan yang sengaja disensasikan
oleh pihak media sehingga menimbulkan ketegangan,” kata Adzib dan
Zarina.
Dinyatakan juga, JAIS pula berkata, siasatan mereka mendapat kerjasama baik daripada Zarina dan keluarga.
Berhubung status agama Zarina, MAIS menasihatinya memfailkan permohonan
status agama di Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia terletak bawah bidang
kuasanya.
“MAIS dan JAIS akan membantu mempercepatkan proses pendengaran permohonan kes beliau di Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.
Nada kenyataan itu bagaimanapun berbeza sama sekali dengan kenyataan
Zarina pada 4 Jun lalu yang dilaporkan berkata sangat malu dan sakit
hati kerana majlis tersebut tergendala.
Laporan The Malaysian Insider melaporkan Zarina sebagai
berkata, tindakan pegawai JAIS itu malah menyebabkan tetamunya
meninggalkan majlis tanpa menjamah hidangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan