Laporan Sinar Harian semalam. Laporan Sinar Harian semalam.


KENAPA JEMPUT, itulah yang menjadi persoalan berhubung program Gema Zikir & Qasidah yang menjemput Shaykh Muhammad Hisham Kabbani yang berkait rapat dengan tarekat Naqsyabandiah.

Banyak pihak seolah-olah tidak mengambil berat sehingga seorang pemimpin kepada tarekat telah difatwakan sesat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000 dijemput ke program keagamaan di negara ini.

Bagaimanapun tindakan drastik yang dibuat Kolej Universiti Insaniah (Kuin) harus dipuji apabila menarik balik kelulusan membenarkan Dewan Besar Sultan Abdul Halim di kolej itu untuk digunakan program itu.

Rektornya, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Kasim membuat keputusan berkenaan selepas merujuk Jabatan Mufti Negeri Kedah, bahwa ajaran tarekat Naqsyabandiah, disahkan sesat.

Walaupun penganjur sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hanya menyewa dewan Kuin, bagi mengelakkan lumpur terpalit kepada mereka, mereka bertindak pantas dan tepat.

Lebih mengejutkan,sumber yang rapat dengan penganjur memberitahu Sinar Harian, bahawa mereka tidak menyedari langsung dengan dakwaan yang mengaitkan tokoh itu terlibat dengan ajaran tarekat Naqsyabandiah.

“Penganjur menjelaskan tidak mengetahui status pemimpin itu sama ada terlibat dengan mana-mana tarekat yang difatwakan sebagai ajaran sesat,” katanya.

Dia berkata, mereka tidak menyedari langsung perkara itu kerana tokoh itu hanya dijemput untuk menjayakan program Gema Zikir & Qasidah pada 13 Jun ini.

Sehubungan itu, penganjur akan memohon penjelasan daripada Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad mengenai status tokoh terbabit sebelum membuat keputusan sama ada program itu wajar diteruskan atau sebaliknya.

“Penganjur akan berjumpa dengan mufti dalam masa terdekat untuk mendapat pencerahan sebenar mengenai tokoh itu untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan masalah berbangkit,” katanya.

Lebih mengejutkan juga semalam, apabila Sinar Harian melaporkan program Majlis Gema Zikir & Qasidah bersama Shaykh Muhammad Hisham adalah dalam pengetahuan kerajaan negeri apabila salah seorang penganjur memuatnaik status Facebook dan gambar bersama Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dalam pertemuan mereka di Wisma Darul Aman pada 25 Mei lalu.

Apa sebenarnya semua ini? Satu lagi menjadi persoalan yang harus dijawab.

Sebelum ini, Syeikh Muhamad Baderudin turut melahirkan rasa kesal apabila wujud usaha pihak tertentu cuba menyebarkan ajaran sesat di negeri ini, dengan menjemput pemimpin tarekat yang disahkan membawa fahaman salah.

“Terlalu banyak perkara yang menyeleweng dalam tarekat itu. Umat Islam perlu akur dan patuh pada ketetapan yang dibuat Majlis Fatwa, kerana ia telah dibuat kajian dengan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Jumaat lalu, Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kedah, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi juga mendesak pihak berkuasa berpendirian tegas dalam mencegah kemungkaran termasuk menyekat penularan ajaran sesat ke negara ini, dengan apa cara sekalipun.

Katanya, mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai pengikut atau penyebar ajaran sesat perlu dihalang memasuki negara ini.

“Shaykh Muhammad Hisham Kabbani diketahui umum sebagai pengikut atau orang kanan kepada Syeikh Nazim Al-Haqqani, yang mengamalkan ajaran tarekat sesat,” katanya.

Sehubungan itu, umat Islam tidak perlu hadir mana-mana program anjuran pengikut ajaran itu kerana dibimbangi boleh mengelirukan akidah umat Islam.