Azih Muda  
Azih Muda
 

KUALA LUMPUR - Cuepacs yang bimbang dengan demam Piala Dunia yang melanda negara empat tahun sekali, menasihatkan penjawat awam supaya memastikan mereka tetap segar dan cergas bekerja, walaupun akan menonton siaran langsung perlawanan bola sepak itu waktu dinihari.

Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata penjawat awam yang mahu menonton perlawanan siaran langsung yang akan disiarkan selepas jam 3 pagi, seharusnya memilih tidur malam lebih awal.

Piala Dunia Fifa 2014 akan berlangsung di Brazil dengan perlawanan pertama pada 12 Jun antara Brazil dan Croatia pada 5 petang (4 pagi/13 Jun di Malaysia) dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 13 Julai jam 4 petang (3 pagi/14 Julai di Malaysia). Kebanyakan perlawanan akan bermula pada jam 3 pagi atau 6 pagi waktu Malaysia.

Azih menasihatkan penjawat awam supaya tidur awal pada sebelah malam bagi memastikan tempoh tidur mereka mencukupi untuk sesuatu hari itu.

Beliau berkata, umat Islam akan mula berpuasa bulan Ramadan pada akhir Jun ketika berlangsungnya kejohanan Piala Dunia itu.

“Lazimnya kita mudah lesu semasa bulan puasa, ditambah dengan perlu bangun awal untuk bersahur, inikan pula akan berjaga pada waktu malam, ini akan membuatkan seseorang itu mudah keletihan,“ katanya.

Azih berkata adalah penting bagi penjawat awam mengelak daripada menerima rungutan pelanggan.

“Tugas kita sebagai penjawat awam ialah memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan produktiviti kita pada tahap maksimum,” katanya. - Bernama