MSTAR ONLINE
PETALING JAYA: Seorang lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu mengumumkan keluar Umno, menjadikan jumlahnya tiga orang setakat pagi Selasa.
Terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Roslee Daud mengisytiharkan berbuat demikian, hanya beberapa jam selepas dua pemimpin negeri itu mengumumkan keluar parti.
Roslee mengikut jejak Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal dan Adun Ajil, Ghazali Taib yang mengambil keputusan menjadi wakil rakyat Bebas.
Dengan perkembangan terbaharu ini, BN kini menguasai 14 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, begitu juga PAS sebanyak 14 kerusi, satu mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas (3).
Terdahulu pada petang Isnin, Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, manakala penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Adun Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, malam Isnin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan