Izmil Amri
Lain halnya dengan dengan coklat dan babi. Ini kita tahu betul. Coklat kita tahu apa rupanya, warnanya, rasanya bagaimana. Babi pun kita tahu bagaimana rupabentuknya, rasanya barangkali bukan semua yang tahu.
Korupsi dan integriti tidak ada kena-mengena dengan coklat dan babi. Namun kedua-duanya ada sedikit persamaan yang akan kita kisahkan kemudian.
Meletup internet hujung minggu lalu dengan berita coklat ada DNA babi. Sumpah-seranah umat menghujani laman-laman sosial dan memaki hamun si syarikat pengeluar coklat. Dikatanya syarikat itu tidak menjaga sensitiviti umat, khianat malah mencabar kesabaran umat yang memerlukan coklat namun tidak redha dengan penggunaan elemen bersumberkan babi.
Umat ini dan makhluk babi memang tak boleh bersetuju. Kalau babi boleh faham perlawanan badminton dan menyokong pasukan negara di kejohanan Piala Thomas, umat ini tidak akan sokong pasukan negara – dikeranakan tidak bersetuju dengan babi. Ini sekadar ilustrasi untuk menunjukkan bahawa umat ini dan babi tidak boleh sependapat.
Bukan sekadar itu, babi malah diperangi. Babi dijadikan kata sifat untuk sekalian benda dan makhluk yang dimusuhi oleh umat ini. Golongan yang dimusuhi ini pula berbagai-bagai. Ada kalanya termasuklah para ‘pendatang Cina’ (geleng kepala), ahli politik Cina, tauke kedai runcit Cina dan golongan yang tidak memberi lampu isyarat ketika membelok. Semua ini dicarutmaki dengan menggunakan kata ‘babi’.
Maka atas dasar kebencian kepada babi itu, mengamuk sakanlah sekaliannya apabila mendapat khabar bahawa coklat kegemaran mereka rupa-rupanya mengandungi elemen babi. Kalau diikutkan hati, nescaya diamuknya di hadapan syarikat pengeluar coklat. Papan tanda syarikat coklat mungkin ditendang-tendang dan dipatahkan. Bangunannya pula mungkin dibaling telur busuk, sebelum diugut ‘kalau kau letak babi dalam coklat lagi, aku bakar kilang kau’. Seperti yang dilakukan sekelompok orang terhadap ibu pejabat parti DAP tempoh hari.
Kemarahan dan kebencian yang sedemikian itu malangnya tidak pula terjadi dalam hal korupsi dan integriti. Ya kita kembali kepada dua kalimat yang susah-nak-faham ini.
Korupsi dan integriti kedua-duanya adalah berasal daripada bahasa orang putih; ‘corruption’ dan ‘integrity’. ‘Corruption’ itu ertinya ‘dishonest or fraudulent conduct by those in power, typically involving bribery.’ Atau perlakuan tidak jujur dan palsu oleh mereka yang berkuasa, yang selalunya melibatkan sogokan atau rasuah. ‘Integrity’ pula maksudnya ‘the quality of being honest and having strong moral principles.’ Atau nilai berlaku jujur dan mempunyai prinsip moral yang kuat.
Jenuh sungguh kalau mahu diterangkan dua hal ini kepada orang kampung. Bukanlah orang kampung itu bodoh, cumanya apalah yang dipayahkan betul bahasa mudah ini sehingga orang yang pedulinya setakat ehwal perut sendiri dan keluarga jadi tambah tak acuh. Antara perut tak berisi nasi dan korupsi orang kaya kenyang makan duit rakyat, lebih baiklah runsing hal perut sendiri.
Jadi mudahnya begini; korupsi itu ertinya rosak, dan integriti itu pula ‘boleh pakai’. Sebentar saya terangkan kenapa.
Manusia, secara keseluruhannya cenderung korup. Manusia punya akal fikir namun turut punya nafsu, dan selalunya nafsu ini mengatasi akal. Atas sebab nafsu ini berjaya mengalahkan akal maka manusia selalunya cenderung mengikut kehendak hati yang selalunya pula mahukan hal yang bagus-bagus belaka dan tidak mahu yang reput dan buruk.
Seluar dalam, contohnya kalau ikut akal; berlubang sedikit pun tak apa lah; bukan orang nampak. Tetapi kalau diturukan hati dan nafsu, seluar dalam mestilah bebas dari sebarang cela, dibuat dari sutera dan baldu serta sentiasa berbau wangi. Ini sekadar ilustrasi.
Jadi hati sentiasa mahukan yang indah-indah, yang mahal-mahal dan yang mewah-mewah. Walhal akal sentiasa berkata ‘Kau miskin buat lah cara miskin. Hiduplah secara sederhana.’ Namun kerana dikalahkan hati, manusia dirosakkan dengan kehendak bermewah-mewah ini.
Nampak di situ bagaimana manusia rosak dan menjadi korup?
Kerosakan ahli politik, penjawat awam, pegawai pelesenan, anggota keselematan, dan segala yang begitu mudah mengambil sogokan ini adalah kerana sudah terbiasa bermewah-mewah meski pendapatan tidak seberapa. Dan kalau pendapatan sudah tinggi, pastinya tidak juga dirasa cukup lalu mahu lagi, lagi dan lagi.
Kalau tidak makan wang sogokan, tidak makan rasuah, tidak ambil duit kopi maka siapa nak bayar ansuran kereta mahal dan pinjaman peribadi buat beli televisyen LCD 40 inci? Kalau disuruh tutup mata biar orang seludup dadah pun tak apa, asalkan bagi duit kopi.
Orang begini tidak boleh pakai, tiada integriti. Alang-alang dah makan rasuah, kenapa nak melompat termakan coklat ada DNA babi? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan