Isnin, 26 Mei 2014

Hilang deposit, Huan percaya prestasinya baik

MALAYSIAKINI


 


Walaupun hilang deposit, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan percaya prestasinya dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor cukup baik kerana majoriti DAP berkurangan di kawasan itu.

Huan gembira dengan undi 3,583 yang diterimanya kerana ia hampir sekali ganda lebih besar daripada yang diperolehnya di Batu Kawan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Saya harap penyokong saya tidak sedih kerana ini hanya perjuangan biasa, bukan peperangan. Walaupun saya tewas, saya berjaya kurangkan majoriti DAP,” katanya.

Calon DAP Ramkarpal Singh sebelum ini berkata mahu mencapai majoriti lebih besar berbanding bapanya, mendiang Karpal Singh yang memperoleh 41,000 undi majoriti.

“Tetapi oleh kerana dia hanya selamat dengan majoriti 37,000 lebih, tolong jangan putar belit atau beri alasan seperti jumlah keluar mengundi rendah,” katanya dalam sidang media.

Keputusan pengundian semalam menyaksikan Ramkarpal menang dengan 37,659 undi. Bapanya sebelum ini mendapat 41, 778 undi.

Dua calon bebas – Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan – masing-masing kalah teruk dengan 799 dan 225 undi.

Tiada ulasan: