Khamis, 29 Mei 2014

Gerakan ekstrem halang hudud, Umno sila jawab

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR 



 

TELUK INTAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa Umno menjelaskan pendirian mereka dengan tindakan biadab Gerakan terhadap usaha PAS melaksanakan hukum hudud selama ini.

Menurutnya, Gerakan bertegas menolak hudud secara tidak demokratik apabila menyerahkan notis saman terhadap PAS untuk membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke parlimen.

Gerakan juga kata beliau telah membuat demonstrasi di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur di samping mengugut untuk membuat benteng manusia di hadapan parlimen bagi menghalang Ahli Parlimen PAS membawa masuk rang undang-undang itu.

"Adakah Umno sedar Gerakan yang mereka sokong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan ini lebih teruk menolak hudud dengan cara penentangannya sangat merbahaya dan ekstrem yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat di negara ini?

"Saya minta Umno jawab adakah mereka bersetuju dengan segala tindakan Gerakan itu," katanya ketika ditemui Harakah di majlis ramah mesra bersama media anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat di Padang Tembak, semalam. Turut serta ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Mahfuz menjelaskan, Umno perlu tahu calon mereka di Teluk Intan adalah presiden kepada parti yang sangat biadab dalam menentang hukum hudud dan bukannya hanya melihat kepada DAP semata-mata.

Tegas beliau, Umno perlu sedar Gerakan lebih teruk menentang hudud berbanding DAP yang menolak atas dasar perlembangaan dengan semangat sistem demokrasi.

Jelas beliau, calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya masih membuka ruang demokrasi dalam pendiriannya tentang hudud berbanding Gerakan yang menafikan hak rakyat PAS untuk membawa rang undang-undang melalui sistem demokrasi. -

Tiada ulasan: