Rabu, 28 Mei 2014

Program 150 ahli DAP masuk BN berakhir dengan kekeliruan

OLEH ANISAH SHUKRY


Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyampaikan kemeja T BN kepada seorang tetamu dalam majlis perpindahan ahli DAP ke BN di Teluk Intan, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 28 Mei, 2014.Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyampaikan kemeja T BN kepada seorang tetamu dalam majlis perpindahan ahli DAP ke BN di Teluk Intan, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim. 




























Program perpindahan kira-kira 150 ahli DAP menyertai Barisan Nasional (BN) berakhir dengan kekeliruan apabila tiada bukti kukuh mengenai pertukaran parti yang ditunjukkan dalam program itu malam semalam.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dalam ceramahnya berkata orang ramai yang berada di depannya adalah ahli DAP yang didakwa sudah letih dengan parti tersebut dan tidak sabar untuk menyertai BN.

Bagaimanapun, untuk menyempurnakan acara tersebut, tiga bekas "ahli DAP" yang didakwa keluar parti itu berdiri di depan penonton sambil menyarung kemeja T biru BN.

Kemudian Ahmad menyerahkan bendera DAP kepada salah seorang daripada mereka untuk menurunkan bendera itu dan menaikkan bendera BN.

"Kami amat gembira kerana mempunyai rakan dahulunya menyokong DAP namun malam ini memihak kepada BN.

"Terima kasih kerana memikirkan masa depan BN, untuk anak-anak dan cucu kita," katanya dalam ceramah di Taman Desa Bakti, Teluk Intan.

Beliau yang juga timbalan menteri kewangan berkata, acara malam tadi sebagai detik bersejarah namun ketika media menemubual orang ramai yang hadir mendakwa mereka sememangnya penyokong BN dari dahulu.

Malah salah seorang daripada tiga yang didakwa menyertai BN memberitahu pemberita beliau diarahkan untuk menghadiri acara malam berkenaan tetapi mendakwa masih lagi ahli DAP.

"Saya amat tertekan dengan kejadian ini. Mereka memaksa saya untuk datang bawa keluarga dan rakan.Tetapi bila saya datang mereka mengambil gambar, saya tidak mahu ini.

"Saya bukan orang BN. Dari dulu hingga kini saya penyokong DAP termasuk seluruh keluarga saya," kata Sahtin Subramian.

Sathin, 46, seorang pemandu teksi, berkata beliau dijanjikan hadiah sekiranya datang ke acara tersebut tetapi selepas apa yang berlaku, beliau risau pemimpin DAP dan rakannya akan mengetahui kehadirannya pada majlis berkenaan dan kecewa.

Bagaimanapun, temubual dengan Sahtin dihalang oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris), Arjami Ali.

Arjami kemudiannya memberitahu wartawan beliau yang bertanggungjawab membawa Sahtin dan yang lain untuk datang ke acara itu.

Arjami berkata, penafian Sahtin menyokong BN adalah kerana wanita itu keliru.

"Dia memang dahulunya menyokong DAP. Tetapi kerana kamu mengajukan soalan, dan cuba memusingkan fakta, maka dia keliru. Jika dia masih DAP tidak mungkin dia akan datang," katanya.

Apabila ditanya bagaimana dapat menyakinkan Sathin meninggalkan DAP, Arjaimi berkata ia dilakukan dalam satu temubual mengenai masalah dihadapi wanita itu dalam kehidupan harian.

"Saya bagus dalam perkara itu. Ia seperti menangani seorang wanita, sekiranya dia mengikuti saya maknanya dia sukakan saya, dia tidak akan datang ke sini jika tidak suka," katanya.

Selepas program berakhir kelihatan orang ramai berkumpul di luar berdekatan rumah untuk mengambil bungkusan hadiah daripada individu yang memakai baju BN.

Cubaan pemberita untuk mengetahui apa yang berada dalam bungkusan itu dihalang Arjami tetapi beliau akhirnya mengalah dengan mendedahkan ia hanya diisi dengan makanan dalam tin.

Tiada ulasan: