MALAYSIAKINI
PERKASA tidak kisah dengan keputusan aktivisnya Yammy Samat untuk
meninggalkan NGO pro-Melayu itu, kata setiausaha agungnya Syed Hassan
Syed Ali.
Katanya, ia tidak menjejaskan PERKASA kerana NGO tersebut mendaftar keahlian baru sehingga 250 orang sehari.
"Apa pun niat Kak Yammy mahu keluar dari PERKASA, tiada masalah kepada PERKASA.
"Setiap hari lebih kurang 250 kad ahli kami proses jadi seorang dua yang
hendak keluar dari PERKASA apalah sangat," katanya dalam satu
kenyataan.
Katanya, sentimen itu berbeza jika ia melibatkan pemimpin yang benar-benar mahu berjuang dan berkorban.
"Pastinya kami sangat sedih," katanya lagi, mengulas pengumuman Yammy untuk keluar dari PERKASA.
Ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud, calon pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan itu mengumumkan menarik diri dari menganggotai PERKASA awal hari ini.
Beliau yang hadir dalam sidang media bersama Dyana dan beberapa pemimpin
DAP lain pagi ini berkata, keputusan itu dibuat untuk menamatkan
kontroversi berkenaan.
Dyana pada awalnya menafikan bahawa ibu kepada calon tersebut, Yammy
Samat, mempunyai kaitan dengan pergerakan pro-Melayu PERKASA, apabila
isu tersebut mula ditimbulkan.
Beliau pada malam tadi bagaimanapun mengaku ibunya terlibat dalam
PERKASA selepas timbul satu gambar yang menunjukkan kegiatan ibunya
dalam NGO tersebut,
Beliau turut membantu ibunya menjalankan satu pendaftaran keahlian untuk NGO itu pada 2008 ketika masih belajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan