MALAYSIAKINI
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan syarikat
konsesi air Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) untuk membatalkan keputusan
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang tidak memperbaharui Lesen-Lesen
Abstraksi Sumber Air bagi syarikat itu.
Ketika menolak permohonan PNSB selaku pemohon, Hakim Datuk Zaleha Yusof
berkata mahkamah bersetuju dengan responden (LUAS dan kerajaan Selangor)
bahawa ia merupakan suatu keputusan polisi yang dibuat oleh LUAS tanpa
niat jahat dan tidak boleh dipersoalkan.
Beliau berkata keputusan LUAS dan kerajaan Selangor untuk tidak
memperbaharui lesen abstraksi sumber air kepada Puncak Niaga bukan
berniat jahat dan bukan sesuatu yang tidak munasabah.
Mahkamah turut memerintahkan PNSB membayar kos RM15,000 kepada LUAS dan kerajaan Selangor.
Pada 20 Mac lepas, Puncak Niaga menfailkan permohonan semakan kehakiman
bagi membatalkan keputusan LUAS yang menolak pembaharuan lesen-lesen
abstraksi sumber air bagi tempoh bermula 1 Jun ini menerusi surat yang
dikeluarkan LUAS bertarikh 7 Mac lepas.
Sehubungan itu, PNSB memohon mahkamah membuat perintah mandamus bagi
memaksa LUAS dan kerajaan Selangor memperbaharui lesen-lesen itu.
Syarikat itu mendakwa LUAS gagal dan atau enggan menumpukan kepada kuasa
dan budi bicara yang diberinya melalui Peraturan 8, Peraturan-Peraturan
Lembaga Urus Air Selangor (Perlesenan) 2012 untuk memperbaharui lesen
itu.
Selain itu, PNSB berkata kedua-dua responden enggan mengambil kira dan
mempertimbang beberapa perkara relevan dalam menolak untuk memperbaharui
lesen itu.
Antaranya ialah apabila PNSB tidak dapat mengasbtrak air mentah, ia
tidak dapat memenuhi obligasinya untuk membekalkan air yang dirawat
kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd untuk dibekal dan diagih
kepada pengguna di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Putrajaya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan