Khamis, 29 Mei 2014

Hentikan serangan peribadi terhadap Dyana

Aizat Fikri Nasir Fikri, melalui e-mel


Saya terpanggil untuk mengulas polemik pilihan raya kecil kerusi Parlimen Teluk Intan, Perak yang melibatkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud mewakili Pakatan Rakyat yang bakal berdepan dengan presiden Parti Gerakan, Mah Siew Kong pada 31 Mei ini. Kerusi Parlimen Teluk Intan menjadi rebutan selepas penyandangnya, Seah Leong Peng meninggal dunia pada 1 Mei lalu.

Pengumuman Dyana sebagai calon DAP menjadi perbualan hangat di kalangan pemerhati politik, rakyat Malaysia umumnya dan masyarakat setempat khususnya. Sejak zaman universiti lagi, Dyana ialah aktivis pelajar dan aktif dalam aktiviti perbahasan antara universiti. Kecenderungan beliau dalam politik terkesan apabila beliau menyertai DAP seputar 2011.

Tiada apa yang ketara luar biasa daripada latar belakang calon DAP ini melainkan faktor umur yang relatifnya muda dan kurang pengalaman dalam arena politik berbanding lawannya yang jauh lebih dahulu makan garam serta mahir selok belok politik negara. Justeru, apakah yang menjadi punca riuh rendah dan hiruk pikuk di Teluk Intan?

Serangan peribadi yang dilontarkan terhadap Dyana yang menuduh beliau diperalatkan oleh parti DAP untuk kepentingan pihak-pihak tertentu pada hemat saya adalah strategi tumpul yang menampakkan ketandusan isu untuk diuatarakan. Menggeledah latar belakang keluarga dan menistanya sebagai anak derhaka lantaran tidak mengikut jejak langkah ibunya, Yammy Samat yang bernaung di bawah lembayung panji-panji Umno sejak berusia 18 tahun adalah suatu perbuatan yang sangat tidak wajar.

Malah kedapatan juga cubaan mengaitkan beliau dengan foto wanita berbikini yang kemudiannya disahihkan sebagai pelakon Filipina.

Dengan segala kecanggihan yang melatari abad ke-21 ini, ternyata mekanisme dan gerakan jentera politik negara menampakkan kedangkalan yang ketara. Sewajarnya, serangan peribadi tidak dibawa ke pentas perbahasan dan dijaja di pojok-pojok ceramah.

Hal ini tidak ubah seperti menabur fitnah yang kesannya sangat parah, malah jauh lebih besar dosanya daripada membunuh. Untuk ditabal selaku “juara” dan “penyambung suara” rakyat, wakil-wakil parti mestilah menunjukkan sikap terpuji yang layak dijadikan rujukan atau model ikutan. Gaya dan budaya baru berpolitik yang matang serta sihat mesti dipraktikkan di Malaysia.

Wakil-wakil rakyat tidak sepatutnya berasa bangga oleh tepukan gemuruh dan pekikan yang diterima daripada khalayak pendengar lewat retorik berapi-api yang memburukkan pihak yang satu lagi.
Strategi berkenaan telah lapuk. Rakyat dahagakan pembaharuan – suatu manifesto praktikal yang berisi, bernas dan menguntungkan semua pihak. Pertikaian atau analisis di pentas ceramah sepatutnya berpusat pada initipati dan perjuangan si wakil rakyat.

Bukti-bukti kukuh dalam bentuk perancangan jangka pendek dan panjang perlu dibentang dan diperhalusi supaya rakyat dapat menilai sendiri faedah yang bakal dituai dengan memangkah wakil rakyat tersebut. Rakyat perlu disuntik dengan dos-dos nasihat dan pil-pil perangsang yang mampu membuka akal dan mata tentang kebatilan, kepalsuan, janji kosong dan angan-angan yang berupaya merencatkan pembangunan fizikal dan spiritual mereka.

Malah telah terbukti dan terwacana perjuangan yang disusurgalurkan oleh Barisan Nasional (BN) membawa kesan positif terhadap rakyat. Hal ini sepatutnya dipanjangkan dan diasimilasikan oleh pihak kerajaan. Pemerintahan BN di Perak berjalan lancar dan mendapat mandat daripada rakyat. Kata dikota dan janji ditepati. Ternyata dari aspek manifesto, calon Gerakan mempunyai hujahan dan kandungan yang mantap.

Kerajaan telah banyak membangunkan Perak khususnya dan menabur bakti melalui program-program yang direncanakan di bawah payung pembangunan modal insan dan infrastruktur. Oleh hal yang demikian, adalah tidak wajar serangan peribadi yang bersifat “ketinggalan zaman” diguna pakai dalam kempen pilihan raya ini.

Pemilihan calon untuk mewakili parti merupakan suatu congakan dan kerja strategi yang bukan enteng dan calang-calang risikonya. Kesilapan dalam meletakkan calon mengundang padah bukan sahaja pada calon berkenaan, malah mampu menggugat kredibiliti parti bertanding dan memperjudikan nasib rakyat. Nasib Teluk Intan bakal diketahui kelak.

Daripada kita berpolemik tentang hal-hal remeh yang tidak menguntungkan sesiapa, adalah lebih wajar perhatian dialihkan kepada kemaslahatan masyarakat Teluk Intan itu sendiri. Kehendak, kemahuan, keluh kesah dan harapan warga Teluk Intan haruslah didengari dan ditelusuri dengan penuh keprihatinan. Tua- muda, berpengalaman-mentah – itu bukan persoalan utama.

Yang menjadi persoalannya ialah; siapa yang layak berkhidmat dan menabur jasa selaku yang berhormat dari kaca mata para pengundi. Dan bagaimana persepsi tersebut dijelmakan? Imej, kenyataan, berita dan laporan berkenaan budaya berkempen serta berpolitik wakil-wakil rakyat bertanding yang dikeluarkan oleh media – inilah yang menjadi panduan para pengundi membulatkan hati. Semoga warga Teluk Intan membuat keputusan yang bijaksana.

(*)  Penulis adalah presiden, Westminster Malaysian Student Society dan ketua penerangan Umno. London

Tiada ulasan: