Jumaat, 30 Mei 2014

Jangan biar suspek kes rogol di Ketereh terlepas

MALAYSIAKINI



 
 
 
Wanita MIC dan Wanita DAP menyifatkan kes rogol seorang remaja oleh 38 orang suspek dalam kejadian 20 Mei lalu sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan dan tindakan keganasan ke atas wanita.

Kedua-dua pergerakan itu menggesa pihak berkuasa bertindak segera untuk membendung jenayah seperti itu.

Ketua Wanita MICA Mohana Muniandy berkata keganasan ke atas wanita bukan hanya isu wanita tetapi juga satu isu hak asasi manusia.

“Wujud keperluan untuk mempromosi dan melindungi keselamatan wanita dan anak gadis di Malaysia. Setiap anak gadis dan wanita seharusnya dalam hidup dengan selamat dan bebas dari keganasan," katanya.

"Jenayah ini perlu dihentikan – gangguan seksual dan keganasan tidak boleh ditolak ansur. Kami menggesa agar hasrat politik ini diterjemah kepada tindakan konkrit dan pelaksanaan lebih kukuh ke atas undang-undang dan peraturan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.

Mohana juga menggesa para pembuat undang-undang, pois dan kerajaan untuk melakukan sedaya mungkin untuk menjalankan reformasi politik, memastikan keadilan dan melaksana perkhidmatan awam yang kukuh demi keselamatan golongan wanita.

Sementara itu, MP DAP Chong Eng dalam satu kenyataan berasingan berkata polis perlu bertindak untuk memastikan suspek yang terlibat dalam jenayah kejam melibatkan gadis bawah umur itu tidak terlepas dari pengadilan.

Chong yang juga anggota Exco Pulau Pinang berkata, kes itu membuktikan bahawa rogol tidak berpunca daripada pakaian seksi wanita tetapi mangsa dikenalpasti oleh suspek yang melaksanakan jenayah itu melalui perancangan terperinci.

Polis kini sedang memburu saki-baki suspek yang terbabit dalam kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, katanya.
  
Dalam kejadian 7.30 petang itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dari Kuala Krai dan gadis berusia 17 tahun yang tidak bersekolah dari Ketereh itu mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong yang dijadikan tempat penagih dadah melepaskan gian.

Menurut polis, pasukan itu menahan seorang bapa bersama dua anaknya adalah antara 14 yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol berkenaan.

Tiada ulasan: