Selasa, 27 Mei 2014

PRK Teluk Intan: 351 mengundi setakat 2.30 petang

BERNAMA


TELUK INTAN: Sejumlah 351 orang atau 85.6 peratus daripada 410 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan keluar mengundi setakat pukul 2.30 petang ini.

Penolong Pengawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Shafie Abdul Karim berkata pengundian awal pada sebelah petang di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak berjalan lancar dan baik.

"Setakat ini tiada apa-apa isu kecuali ada seorang pengundi tadi yang namanya tiada senarai pengundi awal. Bila kita semak semula, dia adalah pengundi bagi kawasan Parlimen Pasir Salak, jadi tiada masalah," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pusat pengundian awal itu akan ditutup pada pukul 5 petang ini.

"Jumlah pengundi lebih ramai pada sebelah pagi memandangkan mereka akan bertugas. Pada sebelah petang ini kita anggarkan mereka akan tunggu sehingga saat terakhir sebelum pusat pengundian ditutup," katanya.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Pengundian biasa PRK itu akan diadakan Sabtu ini dengan sejumlah 60,349 pengundi terdiri daripada 23,301 pengundi Melayu, 25,310 pengundi Cina dan 1,468 pengundi India layak mengundi.
-- BERNAMA

Tiada ulasan: