Rabu, 28 Mei 2014

Ada kebebasan tetapi Chegubard jejaskan imej PKR, kata Dr Wan Azizah

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sesi ramah bersama media di pusat perkhidmatan beliau di Kajang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 28 Mei, 2014.Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sesi ramah bersama media di pusat perkhidmatan beliau di Kajang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli. 



Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan parti itu masih relevan sebagai parti yang mengamalkan kebebasan walaupun beberapa ahlinya digantung sepanjang pemilihan.

Dr Wan‎ Azizah berkata, walaupun PKR terbuka menerima teguran kritikan, tetapi mana-mana ahli yang melebihi batas sehingga menjejaskan imej akan tetap dikenakan tindakan.

"Banyak teguran diterima tapi ada sesetenganya menjejaskan imej parti, jadi itu melanggar peraturan parti," katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, hari ini.

Beliau merujuk kepada ahli PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang digantung kerana‎ kenyataannya mengatakan pemilihan parti itu kotor dan tidak telus.‎

“Badrul Hisham Shahrin akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan parti serta-merta sehingga siasatan selesai,” kata Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam sidang media pagi tadi.

Dr Wan Azizah yang juga Adun Kajang berkata, tindakan tegas terpaksa diambil Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi menunjukkan PKR adalah parti yang telus dan tiada pihak yang kebal daripada undang-undang.

"Apabila langgar peraturan, anda perlu hadapi tindakan yang bakal dikenakan.

"Ini salah satu cara untuk buktikan bahawa kita sudah lakukan yang terbaik untuk tunjukkan kepada ahli dan publik bahawa parti ini telus," katanya.

Mengakui banyak kelemahan dalam sistem sepanjang proses pemilihan, beliau berkata banyak perkara boleh dilakukan untuk memperbaikinya pada masa akan datang.

"Ia bukan sistem yang sempurna. Kita akan cari jalan untuk perbaiki," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan berdasarkan satu ahli satu undi, beliau berkata sistem itu masih relevan namun berlaku kesulitan dari segi logistik di peringkat bawahan.

Badrul didapati membuat dakwaan terbuka dengan menyatakan "Petugas JPP menjadi ejen kepada Azmin Ali" pada 12 Mei lalu dan disiarkan dalam portal berita mysuara.net dan portal Free Malaysia Today.

"Responden  juga membuat kenyataan terbuka mengkritik JPP dalam akhbar Berita Harian pada 21 Mei 2014 bertajuk 'Keputusan penuh penipuan: Chegubard'," kata Tan.

Selain Badrul, PKR turut menggantung seorang lagi ahli M. Nageswaran Muniasamy daripada cabang Kota Raja selama enam bulan.

‎Manakala anggota cabang Pasir Salak, Yusop Kamaruddin dipecat keahliannya ekoran kesalahan ‎mengingkari arahan surat penggantungan.

"Dia juga mencemar nama baik parti dengan terus kritikan dan serangan terhadap JPP dan PKR ‎mengingkari arahan surat penggantungan dan terus menjalankan aktiviti mencemar nama baik parti dalam laman sosial Facebooknya," katanya.

Hasil mesyuarat Biro Politik semalam, Tan berkata lembaga disiplin PKR turut memutuskan bersetuju penarikan kembali enam penggantungan anggota selepas melalui proses sesi pendengaran.

Badrul dalam reaksinya ketika dihubungi The Malaysian Insider mengakui masih tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung perkara itu.

"Saya tidak tahu menahu sehingga anda menghubungi saya. Saya juga tidak menerima sebarang surat rasmi mengenai perkara itu," katanya.

Pemilihan PKR dijadualkan berlangsung sejak 26 April lalu hingga 11 Mei di 198 cabang seluruh negeri tetapi masih diteruskan sehingga hujung Jun depan ekoran beberapa cabang yang digantung dan terpaksa diadakan pemilihan semula. –

Tiada ulasan: