Selasa, 13 Mei 2014

Jangan mudah terpengaruh dengan khabar angin, kata Ketua Polis Terengganu

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Polis Terengganu mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan mengenai situasi politik negeri yang boleh menggugat ketenteraman dan kestabilan awam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata Terengganu berada dalam keadaan stabil dan aman, justeru janganlah ada pihak yang berniat buruk untuk menimbulkan keadaan tidak tenteram dan menyebarkan khabar-khabar angin.

"Kita harap semua pihak tidak meneruskan budaya mendengar dan menyebarkan khabar angin daripada sumber yang tidak sahih, keadaan dan keamanan di Terengganu setakat ini masih terkawal dan tiada lagi peristiwa yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan awam.

Saya juga mengigatkan orang ramai supaya orang ramai akur terhadap nasihat polis supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Jamshah berkata pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuba mencetuskan kekecohan di negeri ini.

Beliau berkata setakat ini, tiada sebarang laporan atau isu yang boleh menggugat keamanan di Terengganu diterima malah kadar jenayah juga berada di tahap yang rendah.

Dalam pada itu Jamshah turut meluangkan masa melawat hampir 50 pesakit termasuk kanak-kanak dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang dirawat di HSNZ.

Katanya, lawatan itu diadakan sempena Hari Jururawat yang disambut hari ini dan bagi menghargai jasa dan pengorbanan jururawat dalam membantu dan merawat anggota polis yang terlibat dalam sebarang insiden. – Bernama

Tiada ulasan: