MUAR: Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) akan membincangkan dua
pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi dan satu
keputusan akan dibuat oleh pengerusi BN, kata Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata BN akan membuat
penilaian terperinci dan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat
keputusan.
Beliau ditanya untuk mengulas pilihan raya kecil yang dijadualkan pada
25 Mei untuk kerusi Parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang berikutan
kematian Anggota Parlimen kawasan itu yang juga bekas pengerusi DAP
Karpal Singh, dalam satu kemalangan pada 17 April.
Satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan bagi kerusi Parlimen Teluk
Intan, Perak berikutan kematian Anggota Parlimen kawasan itu, Seah Leong
Peng dari DAP akibat kanser pada 1 Mei.
Ketika ditanya sama ada BN akan membincangkan untuk tidak bertanding
dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor, Muhyiddin berkata: "Itu tak
tahulah, jangan buat ramalan".
Berhubung cadangan MCA menyenarai pendek tiga nama calon bagi pilihan
raya kecil Bukit Gelugor, Muhyiddin berkata BN sentiasa menghormati dan
mengambil kira cadangan parti-parti komponen.
Bagaimanapun, keputusan muktamad akan diputuskan pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagi pilihan raya kecil Teluk Intan, Muhyiddin berkata BN akan membuat
persiapan sambil menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung
tarikh pilihan raya.
Terdahulu, timbalan perdana menteri sempat beramah mesra dengan penduduk Kampung Masyarakat Jasa di sini.
Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani
Johor Ismail Mohamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Jorak Datuk Dr
Shaharuddin Md Salleh.
Sementara itu, Muhyiddin turut menziarah bekas Imam masjid kampung
Jawa, Lenga, Markusin Tarimin, 85, serta beramah mesra dengan masyarakat
setempat. Beliau kemudiannya merasmikan Pusat Sumber Ilmu dan
Gelanggang Futsal Kampung Parit Tunggol serta menyampaikan bantuan
kepada golongan kurang berkemampuan.
Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh juga meninjau tapak medan
selera dengan kos RM1.4 juta yang bakal dibina di Pekan Pagoh sebagai
satu daripada usaha Majlis Perbandaran Muar (MPM) untuk menaik taraf
pekan itu.
Dalam taklimatnya, Yang Dipertua MPM Ramlee A Rahman berkata projek di
atas tanah seluas 0.4 hektar di sebelah Balai Raya Pagoh itu, akan
memulakan pembinaannya pada suku akhir tahun ini.
"Medan selera ini akan mempunyai 15 buah gerai bagi menempatkan
pengusaha-pengusaha gerai makanan yang berselerak di tepi-tepi jalan dan
berhadapan bangunan komersial di pekan ini," katanya kepada pemberita
selepas tinjauan Muhyiddin ke tapak itu dekat sini.
Ramlee berkata, peruntukan kira-kira RM600,000 pula akan digunakan
untuk projek pengindahan dan menambah baik sistem pencahayaan pekan
Pagoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan