Ahad, 4 Mei 2014

Hishamuddin Rais nafi ada kaitan dengan kumpulan serang media

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
 
 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Aktivis pro-pembangkang, Hishamuddin Rais menafikan dirinya terlibat di dalam tindakan provokasi yang dibuat sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Antifa Malaysia' selepas selesai Himpunan Bantah GST, 1 Mei lalu.
 
Hishamuddin memberitahu beliau berada di luar kawasan Dataran Merdeka dan ditugaskan mengawal keadaan peserta himpunan tersebut, ketika dihubungi Antarapos.
 
Malah beliau berkata hanya mengetahui kejadian kekecohan yang dilakukan oleh kumpulan berpakaian serba hitam dan bertopeng itu, semasa berada di Pasar Seni.
 
"Tidak, tidak, saya tak tahu. Saya tak kenal. Saya kenal ramai orang. Tapi mereka ini budak-budak macam mana? Adakah mereka yang mengikuti kuliah saya? Atau siapa? Saya tak tahu siapa.
 
"Saya dah balik, masa itu baru ada orang beritahu saya. Malam itu saya jumpa Mat Sabu, saya kata tak tahu (insiden).
 
Hishamuddin ketika ditanya lanjut bersabit tingkah laku agresif kumpulan anak muda itu memberitahu, beliau tidak mempunyai apa-apa maklumat berhubung insiden itu.
 
"Saya tidak tahu apa, siapa dan kenapa mereka belasah. Saya tidak di situ. Saya tidak ambil kisah hal itu sebab ia sudah diselesaikan. Media akan ambil sesuatu, itu biasa. Tapi saya tidak tahu siapa kena belasah dan semua itu. ," katanya.
 
Hishamuddin dan aktivis mahasiswa, Adam Adli sebelum ini didakwa ada kaitan dengan kumpulan berkenaan.
 
Sebaik sahaja selesai Himpunan Bantah GST sekumpulan anak muda tiba-tiba bertindak agresif dan menyerang petugas media.
 
Mereka turut dirakam memaki hamun, mencarut dan menunjukkan isyarat lucah kepada petugas media.
 
Unit Amal PAS yang bertindak menghalang tindakan kumpulan itu bagaimanapun tidak berjaya mengawal kemaraan mereka, apabila seterusnya kumpulan itu membaling kayu sepanduk kepada wartawan, jurugambar dan jurukamera media yang cuba merakankan gelagat mereka.
 
Media yang menjadi mangsa kekasaran itu adalah Jurukamera Xinhua News Agency, Mohd Zul Iskanda Mohd Hanafiah, Jurufoto Focus Malaysia, Sharil Amin Abdul Rahim dan Jurufoto Malaysian Reserved Hafzi Mohamad.
 
Hishamuddin kemudiannya berkata tindakan anak muda itu adalah 'perkara biasa'.
 
"Pada saya ia perkara biasa, anak-anak muda selalu tak puas hati. Kalau mereka puas hati mereka bukan anak muda.
 
"Malah adalah sesuatu yang disesali jika anak-anak muda terus berpuas hati. Mereka kena tidak puas hati," ujar beliau.
 
Pihak polis semalam memberitahu akan mengambil tindakan terhadap sekumpulan anak muda tersebut yang bertindak ganas dan melakukan provokasi di Himpunan Bantah GST semalam, mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
 
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh berkata pihaknya sudah menerima laporan bersabit insiden itu.

Tiada ulasan: