NEGARA Islam tidak ditegakkan atas dasar negara percukaian (darul jibayah) tetapi berasaskan prinsip negara hidayah dan berkebajikan.
Negara percukaian meletakkan cukai sebagai dasar hasilan utama negara yang perlu dioptimumkan sedangkan negara hidayah meletakkan cukai sebagai hanya tindakan sementara di kala terdesak dan perlu diminimakan dan bukan dimaksimakan.
Negara Islam meletakkan bebanan kewangan negara ditanggung oleh golongan berada yang mempunyai lebihan kewangan dan berkemampuan sebagai satu tanggungjawab harta bagi menampung keperluan rakyat yang miskin dan kewangan negara apabila bermasalah.
Golongan berada dalam Islam diberi pelbagai insentif galakkan bagi mengoptimumkan semangat menyumbang secara sukarela kepada negara di kala kewangan bermasalah dan kepada rakyat yang tidak berkemampuan secara berterusan menerusi tajaan kewangan, sedekah, hibah, hadiah dan wakaf negara.
Kehormatan harta rakyat
1. Islam menghormati hak pemilikan harta manusia. Harta rakyat tidak boleh diambil oleh kerajaan atas nama cukai dan sebagainya tanpa sebab.
2. Kerajaan mesti mengoptimumkan hasil negara menerusi pelbagai sumber bukan cukai.
3. Sekiranya berlaku kekurangan dana negara maka barulah cukai dibolehkan untuk dikenakan kepada rakyat atas nama dharurat dan keperluan dan ia mesti berlaku dengan pelbagai syarat yang ketat dan hanya dengan sekadarnya demi memenuhi keperluan tersebut.
4. Disyaratkan juga untuk dikenakan cukai bahawa tidak berlaku sebarang ketirisan dan pembaziran perbelanjaan.
Sekiranya masalah kewangan negara berlaku kerana kegagalan kerajaan menguruskan harta secara berhemah maka cukai haram dan tidak boleh dikenakn kepda rakyat.
5. Apabila cukai rakyat diperlukan kerajaan hanya boleh mengambil cukai daripada golongan berada yang berkemampuan dan tidak boleh dikenakan kepada golongan miskin yang hanya cukup makan atau faqir yang tidak cukup makan.
GST cukai yang zalim yang bercanggah dengan Islam kerana beberapa sebab:
1. Ia cukai atas perbelanjaan sedangkan cukai sepatutnya atas pendapatan.
2. Cukai atas perbelanjaan akan kena pada semua golongan kaya atau miskin sedsngkn cukai sepatutnya hanya pada golongan berada yang berkelapangan kewangan dan ada lebihan harta
3. Cukai GST bersifat sumber tetap bagi kerajaan sedangkan cukai dalam islam sepatutnya bersifat sementara untuk menangani permasalahan kewangan negara yang terdesak.
Apabila kewangan sudah stabil cukai mesti dihapuskan
4. GST berlaku dalam suasana kewangan negara bermasalah dengan kadar hutang melebihi 500 bilion kerana berlaku ketirisan dan pembaziran perbelanjaan negara. Ia bercanggah dengan prinsip cukai dalam Islam yang menegaskan tidak boleh dikenakan cukai kepada rakyat di saat berlaku pembaziran kewangan negara.
5. Kadar cukai GST sebanyak 6 peratus atas perbelanjaan bercanggah dengan prinsip cukai Islam yang sepatutnya tidak melebihi 2.5 peratus. Kadar zakat yang wajib pun maksimanya 2.5 peratus atas pendapatan orang yang berkemampuan atau perniagaan atau simpanan.
Inikan pula cukai yang sepatutnya bersifat sementara tidak boleh melebihi 2.5 peratus.
Kesan GST
1. Kajian yang banyak terhadap negara-negara yang telah melaksanakan GST menunjukkan peningkatan harga barang yang tidak terkawal kerana cukai tersebut. Akhirnya yang menjadi mangsa akhirnya rakyat yang tidak berkemampuan.
2. GST akan menyebabkan berlaku inflasi yang tinggi. Kesannya bersifat jangka pendek dan jangka panjang terhadap kemampuan rakyat berbelanja di saat pendapatan rakyat pula berada pada tahap sederhana.
3. Kesan GST pada kewangan peribadi rakyat bawahan dan berpendapatan rendah disebabkan kenaikan harga barang dan susut nilai pendapatan akan membawa negara pd suasana jenayah melibatkan kewangan seperti curi, rompak dan penipuan.
4. GST akan meletakkan rakyat bawahan berada pada situasi berhutang berpanjangan hanya untuk melunaskan keperluan harian. Si kaya yang berkemampuan tidak akan terasa dengan GST. Ia akan mewujudkan jurang yang makin lebar antara si kaya dan si miskin yang akhirnya menggugat kestabilan kehidupan bermasyarakat
>> Penulis adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan