Isnin, 7 Oktober 2013

Kenyataan Zahid mirip gengster mafia - Hanipa

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung "kita tembak dulu", seperti dilapor Malaysiakini, sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS, Hanipa Maidin berkata, kenyataan Zahid itu mirip bahasa gengster atau mafia.

"Satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab keluar dari seorang menteri, sepatutnya menteri tahu apa yang ingin dikatakan. Seperti kenyataan orang yang tidak bersekolah.

"Saya melihat tindakan tersebut tidak jauh bezanya dengan kumpulan gengster atau mafia, "ada bukti tembak"," jelasnya kepada Harakahdaily.

Malaysiakini dalam laporannya hari ini mendedahkan rakamam audio ucapan 20 minit Zahid di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka Sabtu lalu.

Dalam ucapan itu Zahid antara lain memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek jenayah ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan.

Antara lain beliau didakwa menyebut "Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu".

Mengulas lanjut, Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang juga menjelaskan, amat malang bagi rakyat negara ini apabila mempunyai seorang menteri yang bersikap ala mafia.

"Apa guna undang-undang dan mahkamah jika menteri bercakap sedemikian, tak semua mereka ditahan itu bersalah.

"Setiap kesalahan perlu dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu barulah hukuman dijatuhkan, ini tidak, terus nak tembak," sambung beliau.

Selain itu, Zahid dalam rakaman itu juga dilapor mendakwa pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) yang memperkenalkan penahanan tanpa bicara sebagai undang-undang beliau.

"Bagi saya setiap apa yang Zahid perkatakan itu tidak memcerminkan seorang menteri dan malang bagi negara ini mempunyai menteri sedemikian," kata Hanipa.

Tiada ulasan: