PETALING JAYA:Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, berkata beliau sedia bertanding menentang penyandang kerusi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada pemilihan parti tahun ini.
"Saya mahu melihat sayap Pemuda kembali ke era kegemilangannya di mana ada keikhlasan dalam perjuangan dan perpaduan dalam melaksanakan agenda Melayu," katanya.
Beliau berkata dia sedia mencabar Khairy kerana setakat ini, tiada siapa yang menyatakan keinginan untuk bertanding merebut jawatan nombor satu sayap Pemuda Umno itu.
"Ahli akar umbi telah bertanya sekiranya saya sedia untuk bertanding jawatan tertinggi sayap Pemuda.
"Selepas mengadakan perbincangan secara serius selama dua minggu, dan merujuk kepada pemimpin lebih berpengalaman, saya membuat keputusan untuk turun bertanding pada pemilihan kali ini," katanya.
"Saya akan membuat pengumuman rasmi selepas mengadakan beberapa lagi rundingan," katanya.
Akhramsyah, yang bakal mencapai usia 40 tahun bulan hadapan, merupakan seorang jurutera kimia yang memiliki ijazah sarjana daripada the Imperial College of London.
Sementara itu, ayah Akhramsyah, Sanusi berkata walaupun anaknya itu bakal berhadan dengan saingan sengit, namun beliau akan memberi sokongan penuh kepada anak lelakinya itu.
Akhramsyah merupakan ahli cawangan Umno Bendang Baru, yang berada dalam Bahagian Langkawi, Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan