Selasa, 17 September 2013

PBS: PAS Sarawak khuatir nasib guru, murid pedalaman

Harakahdaily,



KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menggesa pihak Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) agar dapat membantu guru dan memberi kebaikan kepada para pelajar untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee (gambar) berkata, perkara itu harus dipandang serius oleh pihak kementerian terutama nasib guru dan pelajar yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan talian internet.

“Harap pihak yang berkenaan dapat memberi perhatian yang sewajarnya untuk mengatasi masalah PBS ini dari terus berlarutan yang boleh membebankan tugas guru dan prestasi pelajar juga boleh terjejas akibat perlaksanaan PBS yang tidak sistematik, teratur dan sempurna,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) adalah bentuk holistik penilaian yang menilai aspek kognitif (intelektual), afektif (emosional dan spiritual), psikomotorik (fisik) dan sosial iaitu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS menilai proses dan produk dalam penilaian formatif dan sumatif dari konsep assessment for learning and assessment of learning.

PBS yang dilaksanakan oleh pihak kementerian pelajaran ini mendapat beberapa pandangan dari kalangan warga guru. Di sini kita menerima beberapa pandangan dari warga guru yang mahu PBS dibaik pulih sepenuhnya agar ianya tidak membebankan tugas harian guru.

Pada dasarnya pelaksanaan PBS ini adalah suatu yang baik jika dilihat dari fikiran yang positif, tidak membebankan, cuma masih ramai di kalangan warga guru yang belum memahami konsep pelaksanaan PBS ini secara mendalam.

Prasarana untuk pelaksanaan PBS ini masih kurang diberi perhatian, jika PBS dapat dilaksanakan dengan berkesan negara kita dapat melahirkan rakyat kelas pertama yang terbaik di dunia. PBS bukan dibuat oleh orang politik tetapi oleh tokoh-tokoh pendidik sesuai dengan perkembangan semasa menurut pandangan seorang guru yang tidak mahu namanya disiarkan.

Kita juga menerima pandangan guru yang mahu PBS dikaji semula agar ianya tidak membebankan tugas harian mereka. Bebanan kerja bertambah kepada guru yang mengajar pada dasarnya ia bertujuan untuk mewujudkan keadaan persekolahan murid-murid yang bukan lagi berorentasikan peperiksaan.

Namun begitu guru-guru kena menyediakan fail setiap murid diisi dengan hasil kerja murid tersebut dan akan disimpan dari tahun 1 hingga tahun 6. Cuba fahami tugas seorang guru yang mengajar, aktiviti kokurikulum, latihan sukan dan lain-lain menyebabkan PBS menjadi tugas tambahan bagi mereka. PBS cantik andai guru diberi pembantu dalam melaksanakannya.

Untuk memberi lebih gambaran/perkongsian pengalaman dan pemerhatian seorang guru, di sini kita beri contoh tugas harian yang perlu dilaksanakan oleh seorang guru.

1. Guru mengajar 24 waktu seminggu, 8 kelas, 1 kelas 36 orang pelajar.

2. Selesai menilai 1 penyataan bertulis, guru perlu memasukkan penyataan ke dalam fail individu pelajar, setiap kelas (36 pelajar x 8 kelas = 288 fail setiap kali hendak masukkan dan keluaran penyataan)

3. Waktu memasukkan penyataan adalah pada masa waktu cikgu ada luang.

4. Kelas guru mengajar 24 waktu (1 waktu = 30 - 40 minit) kadang-kadang ditambah waktu menggantikan kelas guru yang tidak hadir menjadikan 28 waktu seminggu.

Dengan tugasan yang bertambah tersebut, PBS secara tidak langsung menjadi bebanan kepada guru. Warga guru mengesa PBS dikaji semula agar ianya boleh memberi manfaat kepada semua.

Antara cadangan warga guru untuk penambaikan PBS adalah seperti berikut.

- Memberi kefahaman yang jelas kepada guru tentang PBS.

- Sediakan prasarana yang cukup dan baik seperti ICT (Informasi Komunikasi dan Teknologi) talian internet di kawasan luar bandar juga perlu diperbaiki.

- JPN (Jabatan Pelajaran Negeri) dan PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) harus membantu sekolah dan guru yang perlu bantuan dalam melaksanakan PBS

- Pengurusan sekolah perlu sentiasa membantu masalah guru yang tidak mempunyai kemudahan internet.

- Guru-guru jangan dibebani dengan kerja-kerja pekeranian.

- Sediakan pembantu tambahan yang boleh membantu  guru masukkan data online.

Perkara ini harus dipandang serius oleh pihak kementerian pelajaran Malaysia terutama nasib guru dan pelajar yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan talian internet.

Kita menggesa pihak kementerian pelajaran mengkaji semula PBS agar ianya dapat membantu guru dan memberi kebaikan kepada para pelajar untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Harap pihak yang berkenaan dapat memberi perhatian yang sewajarnya untuk mengatasi masalah PBS ini dari terus berlarutan yang boleh membebankan tugas guru dan prestasi pelajar juga boleh terjejas akibat perlaksanaan PBS yang tidak sistematik, teratur dan sempurna.


Tiada ulasan: